KELANA JAYA - Anak-anak Perak di Selangor dan Wilayah Persekutuan bakal digerakkan sebagai 'jambatan ekonomi' bagi membawa produk, pelancongan dan peluang perniagaan negeri itu ke pasaran lebih luas.
Presiden Persatuan Darul Ridzuan di Selangor dan Wilayah Persekutuan (PDR), Datuk Abu Hasan Asha’ari Alang Jaman berkata, usaha itu akan digerakkan menerusi penubuhan Koperasi Persatuan Darul Ridzuan Berhad yang dilihat mampu menjadi platform memperkukuh jaringan perniagaan serta keusahawanan dalam kalangan anak Perak di perantauan.
Menurut beliau, koperasi itu bukan sekadar bertujuan mengukuhkan ekonomi ahli, malah menjadi penghubung antara komuniti anak Perak di perantauan dengan negeri asal mereka.
"PDR mempunyai kelebihan besar kerana menghimpunkan anak-anak Perak daripada pelbagai latar belakang termasuk usahawan, profesional, penjawat awam dan tokoh korporat yang mempunyai kepakaran serta jaringan luas," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Agung Permulaan (MAP) Koperasi PDR di Dewan Dato’ Mohd Ali Baharum, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Wisma Ungku A Aziz di sini pada Ahad.
Abu Hasan memberitahu, koperasi itu akan memberi tumpuan kepada beberapa sektor berpotensi termasuk keusahawanan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), perdagangan dan perkhidmatan, pelancongan, pendidikan dan latihan serta ekonomi digital.
"Persatuan membina ukhuwah, manakala koperasi membina kekuatan ekonomi. Apabila kedua-duanya digerakkan bersama, kita mempunyai satu kekuatan yang boleh memberi manfaat kepada anak-anak Perak di perantauan," jelas beliau.
PDR yang ditubuhkan pada 1962 kini mempunyai lebih 2,000 ahli dan keanggotaan itu dilihat sebagai kekuatan besar untuk membentuk jaringan ekonomi lebih tersusun.
Abu Hasan berkata, penubuhan koperasi itu juga sebahagian daripada transformasi PDR supaya persatuan itu bukan sahaja menjadi wadah silaturahim dan kebajikan, malah mampu memperkasa ekonomi anggotanya.
Katanya, PDR turut berharap ANGKASA dapat menjadi rakan strategik dan mentor kepada koperasi baharu itu khususnya dalam aspek tadbir urus, pembangunan model perniagaan, latihan kepimpinan, jaringan perniagaan dan digitalisasi.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pejabat baharu PDR dan Koperasi PDR Berhad di Glomac Business Centre, Kelana Jaya, bakal menjadi 'rumah' anak Perak di Perantauan.
"Pejabat ini bukan sekadar pusat pentadbiran, tetapi kita mahu ia menjadi tempat anak-anak Perak bertemu, membina jaringan, berkongsi idea dan meneroka peluang ekonomi bersama," jelasnya.