Peruntukan tambahan RM1 juta ahli parlimen antara perkara diperjuangkan sejak awal - Ahmad Samsuri

Iklan
Ahmad Samsuri

SHAH ALAM - Peruntukan tambahan RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen merupakan antara perkara yang diperjuangkan Ahli Parlimen sejak awal.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, selepas menjadi Ahli Parlimen dan Pengerusi PN, beliau turut membincangkan perkara berkenaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Iklan
Iklan

"Selepas itu berlaku perbincangan saya dengan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berhubung perkara sama.

"Dan kita masih lagi berharap pada waktu itulah. Tapi Alhamdulillah saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana melihat perkara ini adalah suatu kewajaran yang perlu diberikan," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Minum Petang Perbincangan Meja Bulat ‘Peace & Harmony’ Pas di sini, pada Ahad.

Iklan

Terdahulu, Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta secara terus kepada rakyat bagi setiap kawasan Parlimen di seluruh negara demi memastikan bantuan dan projek mendesak dapat dinikmati segenap lapisan masyarakat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, langkah itu membuktikan komitmen Kerajaan Madani yang tidak pernah mengurangkan peruntukan kepada kawasan Parlimen, sebaliknya sentiasa mencari ruang menambah bantuan secara terus tanpa melalui birokrasi berlebihan.

Iklan

Menurut Ahmad Samsuri, peruntukan itu tidak semestinya diuruskan sepenuhnya oleh Ahli Parlimen, sebaliknya boleh dilaksanakan menerusi agensi kerajaan, ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) dan jabatan berkaitan.

Katanya, dalam model sebelum ini, Ahli Parlimen tetap mempunyai peranan dalam menentukan sama ada sesuatu peruntukan projek itu wajar dilaksanakan atau sebaliknya.

"Jadi, barulah setiap Ahli Parlimen ada peranan masing-masing, regardless sama ada mereka ini daripada kerajaan atau pembangkang.

"Dan that's very, sesuatu yang sihatlah dalam sistem demokrasi berparlimen dalam negara kita ini," katanya.

Beliau turut berharap semua Ahli Parlimen dapat memanfaatkan peruntukan berkenaan bagi membantu rakyat di kawasan masing-masing.