15 kali seludup PATI sejak Jun, tekong darat akhirnya tumpas

Iklan
Seorang lelaki yang bertindak sebagai tekong darat ditahan bersama lima warga Bangladesh selepas mengaku sudah 15 kali membawa masuk PATI sejak Jun lalu - Foto:PGA

KOTA BHARU - Seorang lelaki yang bertindak sebagai tekong darat ditahan bersama lima warga Bangladesh selepas mengaku sudah 15 kali membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) sejak Jun lalu.

Suspek berusia 31 tahun itu mendakwa menerima upah antara RM50 hingga RM6,000 bagi setiap individu, bergantung pada jarak penghantaran.

Iklan
Iklan

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek ditahan kira-kira jam 5.40 pagi ketika memandu sebuah Proton Wira bersama lima lelaki warga Bangladesh yang dipercayai baru memasuki negara ini dari Thailand di Lorong Pakat Satu, Pendek di sini pada Ahad.

Menurut beliau, hasil soal siasat mendapati suspek mengaku terbabit dalam aktiviti penyeludupan migran sejak Jun lalu dan telah melakukan kegiatan itu sebanyak 15 kali dengan lokasi penghantaran termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kelantan.

Iklan

"Suspek mengaku menerima bayaran antara RM50 hingga RM6,000 bagi setiap individu, bergantung pada jarak penghantaran.

"Bayaran tersebut diuruskan oleh pasangan ejen lelaki dan wanita yang dikenali sebagai 'Tugu' dan 'Emie' yang dipercayai berada di Thailand.

Iklan

"Bayaran dibuat secara tunai dan bersemuka di Kota Bharu selepas kerja penghantaran selesai," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Ahmad Radzi memberitahu, lima warga Bangladesh berusia antara 19 hingga 47 tahun itu dipercayai memasuki Malaysia dari Thailand melalui Sungai Kelantan selepas membayar RM6,000 seorang kepada seorang ejen wanita warga Thailand.

Ujarnya, serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota Task Force Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

"Semakan awal mendapati suspek turut positif dadah jenis amfetamina," katanya.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ujarnya, kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada JSJ serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Bharu untuk siasatan dan tindakan lanjut.