RM1.47 juta rokok seludup dirampas, dua individu diberkas

Iklan
Mohd Zaki

KUALA LUMPUR - Lokasi menyimpan rokok seludup sebelum diedarkan ke pasaran antara dibongkar menerusi tiga serbuan berasingan di Kuala Lumpur dan Selangor pada Sabtu.

Operasi Op Taring Alpha 1 oleh Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman itu turut membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia 20 dan 22 tahun yang dipercayai berperanan sebagai penghantar rokok.

Iklan
Iklan

Komander WCB/PSK, JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, serbuan pertama dilakukan kira-kira jam 12.05 tengah hari di Taman Seri Sentosa, Kuala Lumpur.

Menurutnya, serbuan kedua dilakukan pada jam 3 petang di Semenyih, Selangor manakala serbuan ketiga pada jam 3.30 petang di Damansara Damai, Petaling Jaya.

Iklan

"Dalam serbuan pertama, pasukan WCB/PSK berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun yang dipercayai berperanan sebagai penghantar rokok.

"Pemeriksaan terhadap kenderaan yang digunakan suspek menemukan sejumlah rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai kastam," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata, hasil soal siasat awal terhadap suspek kemudiannya membawa pasukan operasi ke sebuah lagi lokasi di Semenyih yang dipercayai digunakan sebagai tempat penyimpanan sementara rokok sebelum diedarkan ke pasaran.

Katanya, pemeriksaan di lokasi kedua menemukan stok rokok dalam kuantiti lebih besar membabitkan pelbagai jenama antaranya John JDB, John JDB Superslims, Zon King, Canyon Premium, Canyon Blast, La Bold, Gajah Baru International, Clas Mild dan La Ice.

"Dalam serbuan ketiga di Damansara Damai, pasukan operasi menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 22 tahun yang turut dipercayai berperanan sebagai penghantar rokok.

"Pemeriksaan terhadap kenderaan suspek menemukan pelbagai rokok yang disyaki tidak bercukai kastam," katanya.

Mohd Zaki berkata, polis turut menyita dua kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire dan Toyota Alphard, telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM26,415 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti berkenaan.

Menurutnya, nilai rampasan bagi serbuan pertama adalah RM360,400, serbuan kedua RM911,680 manakala serbuan ketiga RM219,413, menjadikan keseluruhan rampasan bernilai RM1,492,223.

"Jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi ketiga-tiga serbuan adalah RM1.49 juta.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua individu yang ditahan dipercayai telah menjalankan aktiviti sebagai penghantar rokok masing-masing selama kira-kira empat dan enam bulan," katanya.

Beliau berkata, maklumat awal turut menunjukkan premis yang diserbu dipercayai digunakan sebagai lokasi penyimpanan sementara sebelum bekalan rokok dihantar ke premis-premis sekitar Kuala Lumpur.

Katanya, siasatan juga sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu lain yang dipercayai terlibat dalam rangkaian berkenaan termasuk pihak yang mengatur urusan pengambilan dan penghantaran bekalan melalui aplikasi komunikasi dalam talian.

"Kedua-dua lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967.

"Semua rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat berkaitan untuk tindakan dan siasatan lanjut," katanya.

Mohd Zaki berkata, kejayaan Op Taring Alpha 1 itu hasil tindakan penguatkuasaan berteraskan risikan yang dilaksanakan secara berterusan bagi mengenal pasti serta memutuskan rantaian penyimpanan, penghantaran dan pengedaran barangan kontraban.

"WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman akan terus mempergiatkan risikan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta pengedaran barangan tidak bercukai yang bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah berpotensi menyumbang kepada perkembangan rangkaian jenayah terancang," katanya.

Beliau berkata, kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dan pengedaran barangan kontraban amat penting bagi membantu pihak berkuasa mengambil tindakan lebih berkesan.

"Sepanjang tempoh 1 Januari hingga 16 Ogos 2026, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman telah melancarkan sebanyak 237 serbuan di seluruh negara.

"Seramai 411 individu telah berjaya ditahan atas pelbagai kesalahan melibatkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penyeludupan hidupan liar serta operasi berkaitan e-waste," katanya.

Tambahnya, jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi tempoh tersebut dianggarkan berjumlah RM312,523,899.64.

Menurutnya, tiada ruang kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan, perdagangan haram hidupan liar mahupun jenayah rentas sempadan.

"WCB/PSK akan terus komited melindungi khazanah negara, keselamatan awam dan kepentingan negara melalui tindakan penguatkuasaan yang tegas, profesional serta berterusan," katanya.

End......