SIKKA - Di sebalik kemusnahan dan kehilangan nyawa akibat gempa bumi kuat di Nusa Tenggara Timur (NTT), Indonesia, terselit kisah menggembirakan apabila seorang wanita selamat melahirkan bayi ketika bencana itu melanda pada Sabtu.
Lebih menarik, bayi tersebut diberi nama Agustin Gempita Aurora, sebagai kenangan kelahirannya ketika wilayah berkenaan digegarkan gempa bumi.
Ibunya, Agnes Afrida yang berasal dari Desa Lenandareta, Kecamatan Paga, Kabupaten Sikka berada di Pusat Kesihatan Masyarakat (Puskesmas) Paga ketika gempa berlaku.
Pada waktu itu, Agnes sudah memasuki fasa akhir proses kelahiran dan bersedia untuk bersalin.
Keadaan gempa bumi memaksa petugas kesihatan memindahkannya keluar dari bangunan kerana bimbang terhadap keselamatan ibu dan bayi, termasuk risiko struktur terjejas akibat gegaran susulan.
Agnes kemudian dibawa ke kawasan halaman Taman Kanak-Kanak (TK) Poli Pawe Alvarez Paga yang terletak tidak jauh dari pusat kesihatan tersebut.
Petugas Puskesmas Paga segera menyediakan tempat bersalin kecemasan di dalam sebuah ambulans bagi membolehkan proses kelahiran diteruskan dengan selamat.
Ketua Puskesmas Paga, Gabriel Pelo Panditi berkata, Agnes akhirnya selamat melahirkan bayinya pada jam 9.02 pagi waktu tempatan.
Namun, selepas proses kelahiran selesai, ibu dan bayi itu tidak terus dibawa kembali ke wad kerana pihak berkuasa masih bimbang kemungkinan berlaku gegaran susulan.
Sebaliknya, kedua-duanya ditempatkan di kawasan yang dianggap lebih selamat sambil terus dipantau petugas kesihatan sehingga keadaan mengizinkan mereka dipindahkan.
Kelahiran Agustin Gempita Aurora menjadi antara detik menggembirakan di tengah bencana yang menyaksikan ribuan penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.
Gempa kuat berukuran 7.7 magnitud yang melanda Flores turut disusuli ratusan gegaran susulan serta menyebabkan kerosakan besar di beberapa kawasan di NTT. - Agensi