KOTA BHARU - Masalah mata juling dalam kalangan pelajar bukan sekadar isu penampilan, malah boleh menjejaskan fungsi penglihatan, perkembangan otak serta keyakinan diri jika tidak dirawat pada peringkat awal kata, Pengarah Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Datuk Dr Ab Rahman Izani Ghani@Ab Ghani
Menurut beliau, lebih membimbangkan, hasil saringan HPUSM bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan sejak 2023 mendapati kira-kira 300 pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri ini dikesan mengalami masalah mata juling dan memerlukan rawatan susulan.
Jelas beliau jumlah itu dikenal pasti menerusi program saringan yang dijalankan secara berkala di seluruh Kelantan dengan kerjasama JPN.
"Daripada jumlah berkenaan, kira-kira 200 merupakan pelajar sekolah rendah manakala 100 lagi menengah.
"Apabila kita keluar membuat saringan, rupanya jumlah yang direkodkan lebih daripada jangkaan. Ini kerana sebelumnya pesakit datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan, tetapi apabila kita sendiri turun mencari dan membuat saringan di sekolah, kita dapati ramai sebenarnya mempunyai masalah mata juling," kata semasa sidang akhbar pada Ahad.
Sebelum itu beliau merasmikan 2nd USM Strabismus Surgery Carnival anjuran Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual, HPUSM yang berlangsung dari 16 hingga 20 Ogos di sini.
Dalam pada itu beliau berkata, sepanjang karnival selama lima hari itu, seramai 23 pesakit berusia antara tujuh hingga 19 tahun menjalani pembedahan membetulkan mata juling, sekali gus membantu mengurangkan tempoh menunggu rawatan yang sebelum ini boleh melebihi enam bulan.
Menurut Dr Ab Rahman pembedahan itu juga merupakan antara bidang kepakaran khusus HPUSM yang terus diperkasa melalui rawatan, latihan dan pendidikan kepakaran.
"Selain menyediakan platform untuk rawatan strabismus, kita juga dapat berkongsi kepakaran dengan pakar-pakar mata dari seluruh negara supaya perkhidmatan ini dapat dikembangkan kepada rakyat di seluruh negara," katanya.
Ujar beliau, kesedaran mengenai masalah mata juling kini semakin meningkat apabila bukan sahaja ibu bapa, malah pelajar sendiri menyedari keadaan itu dan bersedia mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, katanya, faktor keturunan dan pendedahan kepada gajet turut menjadi antara perkara yang perlu diberi perhatian.
"Faktor keturunan memang ada, yang kedua, exposure kepada gajet juga salah satu faktor yang kita tidak boleh nafikan.
"Dalam era digital sekarang, ramai pelajar menjadi rabun disebabkan pendedahan kepada gajet dan secara tidak langsung bertambah individu yang mengalami masalah mata juling," katanya.
Tambah beliau, pembedahan untuk pelajar adalah percuma dengan membawa surat pengesahan daripada sekolah, manakala program berkenaan turut mendapat sokongan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta sumbangan pihak swasta dan NGO bagi membantu kos program, termasuk penyediaan cermin mata percuma kepada pelajar B40 dan asnaf.