Dua lelaki diberkas kes cederakan mangsa berhampiran kuil

Iklan
Pertengkaran antara dua pihak dipercayai menjadi punca dua lelaki bertindak mencederakan seorang individu hingga parah dalam kejadian berhampiran sebuah kuil di Salak South di sini - Gambar kecil (Mohd Rosdi)

KUALA LUMPUR - Pertengkaran antara dua pihak dipercayai menjadi punca dua lelaki bertindak mencederakan seorang individu hingga parah dalam kejadian berhampiran sebuah kuil di Salak South di sini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, dua lelaki berusia 30-an ditangkap di sekitar kawasan perumahan Razak City Residences pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, polis turut merampas satu gelang tangan besi yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

"Kejadian dilaporkan berlaku pada 9 April lalu apabila seorang lelaki tempatan berusia awal 20-an ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran sebuah kuil di kawasan Salak South.

Iklan

"Mangsa mengalami kecederaan parah," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod dikehendaki di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, manakala suspek kedua mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

Iklan

Tambahnya, kedua-dua suspek kini ditahan selama sehari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.