WASHINGTON - Aktiviti bermain golf Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kini hadir dengan 'peneman' luar biasa apabila sistem pertahanan udara yang dilengkapi peluru berpandu ditempatkan berhampiran padang golfnya di Bedminster, New Jersey.
Sistem Avenger Air Defense System milik Tentera Darat AS dapat dilihat berada di kawasan berkenaan ketika Trump menikmati permainan golf pada awal bulan ini.
Dipasang pada kenderaan tentera Humvee, Avenger merupakan sistem pertahanan udara jarak dekat yang mampu melancarkan peluru berpandu Stinger bagi menghadapi ancaman seperti dron, helikopter, pesawat terbang rendah dan peluru berpandu kruis.
Dalam satu rakaman video pada 1 Ogos, Trump dilihat berbual bersama anggota tentera dengan sistem berkenaan berada di belakang mereka.
"Tidak bimbang mengenai peluru berpandu atau dron," kata Trump secara berseloroh.
Seorang anggota tentera kemudian menunjuk ke arah sistem pertahanan itu sambil menjawab:"Kami sudah mengawalnya."
Jet pejuang F-16 di bawah Komando Pertahanan Aeroangkasa Amerika Utara (NORAD) turut dikerahkan selepas dua pesawat awam memasuki ruang udara larangan sementara berhampiran Bedminster ketika Trump berada di kelab golf berkenaan.
Kedua-dua pesawat itu berjaya dipintas dan diiring keluar dari kawasan terbabit dengan selamat.
Penempatan aset ketenteraan tersebut menggambarkan tahap kawalan keselamatan luar biasa di sekeliling Trump ketika kebimbangan terhadap ancaman ke atas Presiden AS itu semakin meningkat.
Sistem Avenger turut dilengkapi turet yang boleh berputar 360 darjah bagi membolehkan ancaman udara dari pelbagai arah ditangani dengan pantas.
Langkah itu menjadikan kunjungan Trump ke padang golf bukan lagi sekadar aktiviti riadah biasa, sebaliknya berlangsung di bawah perlindungan sistem pertahanan udara dan kawalan ruang udara yang ketat. - Agensi