AYER KEROH - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa orang Melayu di negara ini tidak pernah terancam disebabkan kewujudan kaum lain.
Menurutnya, terdapat pelbagai faktor yang boleh mengancam masyarakat Melayu, antaranya kemiskinan dan penyalahgunaan dadah.
"Saya nak kata bahawa orang Melayu dan orang Islam terancam bukan kerana kewujudan kaum lain di dalam negara. Melayu tak terancam kerana ada orang Cina dan India dalam negara.
"Melayu terancam kalau orang Melayu miskin. Melayu terancam kalau orang Melayu paling banyak terjebak dalam masalah dadah," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di sini pada Ahad.
Beliau berkata, sebagai Menteri Dalam Negeri, beliau melihat pelbagai data yang menunjukkan kaum Melayu antara kelompok paling ramai terlibat dalam penyalahgunaan dadah, sekali gus menjadi satu ancaman.
Jelasnya, berdasarkan rekod, negeri-negeri yang dipimpin oleh Pas turut menunjukkan kadar penglibatan dalam kesalahan dadah paling tinggi.
"Saya ambil data narkotik Bukit Aman, saya ambil data pusat kesihatan, saya ambil data Agensi Anti Dadah Kebangsaan. Tak cukup dengan itu, saya ambil data di 47 pusat pemulihan dadah swasta.
"Empat sumber ini saya gabungkan. Saya proses mengikut standard antarabangsa dan daripada 100,000 populasi, 560 rakyat kita melakukan kesalahan dadah,"katanya.
Saifuddin berkata, apabila angka berkenaan diteliti bagi negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, semuanya mencatatkan kadar melebihi 1,000 bagi setiap 100,000 penduduk.
"Maksudnya, ancaman terbesar orang Melayu ialah kerana anak-anak Melayu terjebak dengan dadah. Kebetulan atau tidak, suratan atau kebetulan? Yang paling tinggi adalah di negeri-negeri Melayu yang setengahnya Islam sudah memerintah selama 30 tahun," katanya.
Ujarnya, Pas sepatutnya meneliti perkara itu dan bukannya hanya kerap menyalahkan DAP atas apa saja perkara yang berlaku.
"Bila kamu tidak tumpu pada pembangunan negeri, kamu hanya bangkitkan DAP, DAP, DAP. Kamu tidak jaga, peluang pekerjaan tidak wujud, anak muda terlibat dengan dadah," katanya.