Nilai semula pencapaian, kelemahan DAP dalam Kerajaan Perpaduan - Gobind

Iklan
Gobind - FOTO: Rosli Talib

PUTRAJAYA - DAP perlu menilai semula pencapaian dan kelemahannya sepanjang tiga tahun sembilan bulan berada dalam Kerajaan Perpaduan sebelum menentukan hala tuju parti berbaki 18 bulan lagi.

Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo berkata, kedudukan parti dalam kerajaan ketika ini membawa tanggungjawab yang cukup besar kepada pimpinan dan anggota dalam usaha menentukan hala tuju terbaik buat Malaysia.

Iklan
Iklan

Atas dasar itu, beliau mengingatkan bahawa tindakan parti keluar daripada Kerajaan Perpaduan atau kekal sehingga habis penggal memiliki impak yang sangat besar dan ia perlu ditangani sebaik mungkin.

"Persoalannya, adakah DAP nak bergerak ke hadapan agar dapat laksanakan reformasi Malaysia kita sendiri, supaya kita memperkukuhkan lagi apa yang kita lihat sebagai Malaysia negara yang maju?" katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian semasa Persidangan DAP Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini pada Ahad.

Gobind yang juga Menteri Digital menambah, tanggungjawab tersebut kini perlu dipikul secara bersama oleh seluruh anggota DAP.

Iklan

Ia kerana menurutnya, setiap perwakilan mempunyai peranan masing-masing dalam menentukan keputusan yang bakal dibuat.

"Inilah tanggungjawab kita semua. Setiap daripada kita di sini hari ini mempunyai tanggungjawab yang berbeza kerana kita memutuskan bagaimana DAP bergerak ke hadapan selepas ini," ujar Ahli Parlimen Damansara itu lagi.

Gobind turut menyentuh perihal keputusan siri Pilihan Raya Negeri (PRN) bermula dari PRN Sabah hingga Negeri Sembilan sebagai antara intipati yang perlu diperhalusi parti bagi menentukan hala tuju seterusnya.

"Kita melalui beberapa siri PRN dan parti memang menerima keputusan pilihan raya berkenaan.

"Tetapi, ia membawa kepada keperluan untuk menimbang tara bagaimana DAP nak bergerak ke hadapan," jelas beliau.

Gobind berkata, keadaan itu perlu dinilai secara menyeluruh bagi memastikan agenda reformasi kerajaan bukan sekadar melihat dari sudut kestabilan politik atau pertumbuhan ekonomi, tetapi juga mengambil kira impak terhadap rakyat.