UMT sokong cadangan pemansuhan AUKU, gesa kerangka baharu perkukuh tadbir urus

Iklan
Suriyani

​KUALA NERUS - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung cadangan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

​Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMT, Prof Dr Suriyani Muhamad berkata, langkah penggubalan semula perundangan pendidikan tinggi itu bertepatan dengan keperluan dan aspirasi semasa.

Iklan
Iklan

​Menurut beliau, usaha berkenaan menjadi peluang penting untuk memperkukuh reformasi tadbir urus pendidikan tinggi negara, khususnya dalam meningkatkan autonomi institusi dan memperjelas akauntabiliti universiti awam.

​"Langkah ini juga penting bagi membangunkan ekosistem akademik yang lebih terbuka, dinamik, inovatif serta berdaya tahan.

Iklan

​"Pembaharuan kerangka perundangan ini selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (2026–2035) yang menekankan transformasi, kecemerlangan dan pengukuhan ekosistem pendidikan tinggi negara," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

​Suriyani yang menjalankan tugas sebagai Naib Canselor berkata, UMT berharap kerangka perundangan baharu itu kelak dapat memberi jaminan lebih jelas terhadap kebebasan akademik serta ruang wajar kepada mahasiswa dan warga universiti untuk berfikir, bersuara, berkarya mahupun menjalankan penyelidikan.

Iklan

​Walau bagaimanapun, jelas beliau, kebebasan berkenaan perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dan seiring dengan prinsip integriti, etika serta akauntabiliti.

Katanya, reformasi perundangan yang dilaksanakan secara inklusif dan berteraskan kepentingan ilmu akan memperkukuh kedudukan universiti awam sebagai institusi berautonomi, berintegriti dan berdaya saing.

​"Kerangka baharu perlu mewujudkan keseimbangan yang jelas antara autonomi dan akauntabiliti, kebebasan dan tanggungjawab, serta inovasi dan tadbir urus yang baik.

​"UMT percaya universiti awam perlu terus menjadi ruang kondusif bagi perkembangan ilmu, pemikiran kritis dan kreativiti, di samping membentuk generasi yang berani berfikir serta matang dalam menyampaikan pandangan," ujarnya.