Bayi positif dadah: Kesan tidak semestinya kekal, dipantau hingga membesar – JKNK

Iklan
Dr Rohana (tengah) bersama Dr Ab Rahman (kanan) semasa merasmikan Program Universiti Sains Malaysia (USM) House Officer Preparatory Course 2026 di Auditorium Kompleks Pentadbiran Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) di Kota Bharu pada Ahad.

KOTA BHARU - Bayi yang disahkan positif dadah selepas dilahirkan tidak semestinya mengalami kesan kekal terhadap perkembangan otak atau organ dalaman, namun perlu dipantau secara berterusan bagi memastikan tumbesaran mereka berada pada tahap normal.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Dr Rohana Daud berkata, pemantauan itu bertujuan mengesan gejala withdrawal atau kebergantungan terhadap bahan terlarang selepas dilahirkan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, sekiranya keadaan bayi stabil dan tidak menunjukkan gejala serius, mereka boleh dipulangkan selepas mendapat rawatan serta pemantauan yang diperlukan.

"Dia tidak kekal. Bayi cuma ada withdrawal symptom, kalau ada dan kita akan tengok serta monitor.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kes bayi baru lahir yang dilaporkan positif dua jenis dadah selepas dipercayai terdedah kepada bahan berkenaan ketika berada dalam kandungan.

Sebelum itu, beliau merasmikan Program Universiti Sains Malaysia (USM) House Officer Preparatory Course 2026 di Auditorium Kompleks Pentadbiran Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) di sini.

Iklan

Hadir sama ialah Pengarah HPUSM, Datuk Dr Ab Rahman Izani Ghani@Ab Ghani.

Terdahulu, media melaporkan seorang bayi perempuan yang baru berusia lima hari mengejutkan petugas hospital apabila didapati positif dua jenis dadah, iaitu amphetamine dan benzodiazepine.

Dua bahan terlarang itu dikesan ketika bayi berkenaan menjalani saringan air kencing di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada 6 Ogos lalu.

Lebih mengejutkan apabila siasatan mendapati bayi itu terdedah kepada bahan terlarang berkenaan ketika masih dalam kandungan.

Jelas Dr Rohana, bagi kes terbabit, pihak hospital turut bekerjasama dengan Pasukan Disyaki Penderaan dan Pengabaian Kanak-Kanak (SCAN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selain membuat laporan polis selepas ibu bayi berkenaan didapati turut positif bahan terlarang.

Ujar beliau, ibu bayi itu sebelum ini memaklumkan mengambil ubat untuk tidur, namun pihak hospital menjalankan pemeriksaan lanjut selepas bayi berkenaan dilahirkan.

"Daripada sejarahnya, memang ada (pengambilan bahan). Daripada laporan polis pun begitu," katanya.

Mengulas kebimbangan mengenai kemungkinan bayi terbabit mengalami kerosakan otak, organ dalaman atau masalah perkembangan ketika membesar, Dr Rohana memberitahu, perkara itu tidak boleh ditentukan hanya berdasarkan keputusan positif ketika dilahirkan.

Sebaliknya, perkembangan bayi perlu dipantau dari semasa ke semasa menerusi pemeriksaan susulan di hospital.

"Kalau ada kesan terhadap mental, pertumbuhan atau pembesaran, kita akan tengok melalui susulan. Kita beri janji temu dan minta mereka datang semula ke hospital.

"Masa itulah kita akan lihat sama ada ada kesan atau tidak," katanya.

Dalam pada itu, Dr Rohana memberitahu, kes ibu mengandung yang positif dadah memang berlaku di Kelantan, namun ia berlaku sekali-sekala.

Bagaimanapun, beliau tidak mempunyai data terkini mengenai jumlah atau peratusan ibu mengandung yang disahkan positif dadah di negeri ini.