PRN Melaka: MIC belum muktamad calon pertahan 1 kerusi

Iklan
Saravanan (dua dari kiri) bertanyakan sesuatu kepada penerima selepas menyempurnakan Program Serahan Komputer Riba Kepada Mahasiswa Parlimen Tapah 2026 di Dewan Mahatma Gandhi pada Ahad.

TAPAH - MIC belum memuktamadkan calon yang akan bertanding bagi mempertahankan satu-satunya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diperuntukkan kepada parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, pihaknya kini masih dalam proses menilai calon yang layak untuk diketengahkan sebelum keputusan dibuat dalam masa terdekat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, gerak kerja awal menghadapi PRN Melaka sudah dimulakan dengan memberi tumpuan kepada pengenalpastian pengundi, khususnya kelompok pengundi 'putih' selain mengenal pasti isu yang perlu ditangani.

"Buat masa ini, kita dah mula gerak kerja untuk mengenal pasti. Kita lebih fokus kepada mengenal pasti pengundi, khususnya pengundi 'putih' dan isu-isu yang sedang atau perlu ditangani dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Serahan Komputer Riba Kepada Mahasiswa Parlimen Tapah 2026 di Dewan Mahatma Gandhi, di sini pada Ahad.

Saravanan berkata, berdasarkan sejarah, MIC hanya mempertahankan satu kerusi di Melaka dan kedudukan itu dikekalkan sejak negara mencapai kemerdekaan.

Iklan

"Setakat ini, kalau ikut sejarah, selamanya hanya satu kerusi di negeri Melaka dan kita telah kekalkan posisi tersebut sejak merdeka," katanya.

Dalam PRN Melaka pada 2021, MIC yang bertanding di bawah Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek menerusi calonnya, VP Shanmugam dalam pertembungan enam penjuru dengan majoriti 559 undi.

Mengulas mengenai kemungkinan kerjasama BN dengan Perikatan Nasional (PN), Saravanan berkata, perkara itu merupakan bidang kuasa Presiden MIC untuk memberikan ulasan.

Katanya, MIC mengambil pendirian tidak mengulas sebarang isu berkaitan jajaran atau kerjasama politik parti ketika ini kerana belum ada keputusan dibuat.

"Ini satu isu yang cukup sensitif. Kita belum ada sebarang keputusan.

"Setakat ini MIC buat keputusan, segala isu berkaitan jajaran, hanya Presiden akan memberi ulasan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Saravanan berkata MIC juga mengambil pendirian serupa berhubung isu membabitkan parti komponen BN dan perkembangan politik semasa.

Sementara itu, mengenai program penyerahan komputer riba, beliau berkata seramai 49 mahasiswa Parlimen Tapah menerima bantuan berkenaan pada tahun ini.

Katanya, program berkenaan dilaksanakan secara berterusan sejak 2008 bagi membantu golongan B40 mengurangkan beban kos pendidikan.

Beliau berkata, lebih 1,000 penerima sudah mendapat manfaat menerusi program berkenaan sejak ia diperkenalkan.