PUTRAJAYA - DAP menyokong sepenuhnya terhadap keputusan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, pemansuhan AUKU itu merupakan perjuangan parti itu sejak sekian lama dan menyifatkan ia sebagai langkah penting ke arah negara yang lebih bebas dan demokratik.
“Kita menyambut baik apa-apa usaha untuk mereformasikan sistem supaya negara kita menjadi lebih bebas, lebih demokrasi. dan sistem kerajaan lebih telus.
"Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa beliau mencadangkan untuk membawa kepada Kabinet untuk memansuhkan AUKU.
“Hari ini, DAP menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan tersebut. Pemansuhan AUKU telah diperjuangkan DAP sejak berpuluh tahun lalu,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan DAP Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Ahad.
Menurutnya, pengalaman sebagai mahasiswa di universiti tempatan turut memberi gambaran mengenai kesan AUKU terhadap kebebasan mahasiswa ketika itu.
“Saya juga belajar di universiti tempatan dan pernah menjadi mangsa AUKU ketika itu.” katanya.
Terdahulu, kerajaan akan memansuhkan AUKU bagi memberi kebebasan dan ruang demokrasi lebih luas kepada gerakan mahasiswa di negara ini susulan memorandum yang mahukan perubahan menyeluruh terhadap akta tersebut.
Anthony berkata, DAP mahu semangat reformasi yang sama diperluaskan kepada beberapa bidang lain yang menyentuh kepentingan rakyat.
Tambah beliau, parti itu mencadangkan reformasi pendidikan bagi memastikan peluang mendapatkan pendidikan tinggi diberikan secara adil kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang.
"Kita mohon atau mencadangkan kepada Perdana Menteri bukan setakat AUKU, semangat sama perlu dibawa untuk beberapa reformasi yang telah kita janjikan kepada rakyat termasuk reformasi pendidikan.
"Hargai setiap insan rakyat mencapai keputusan yang oleh diterima dlm universiti sepatutnya mendapat tempat di institus pengajian tinggi awam (IPTA). Ini sepatutnya menjadi dasar dan semangat reformasi,” katanya.
Dalam sektor ekonomi pula, kata Anthony, pihaknya bersedia menyokong langkah kerajaan yang memberi tumpuan kepada isu yang dekat dengan kehidupan rakyat.
Beliau turut menegaskan sokongan terhadap agenda perubahan kerajaan bukan sekadar pada pengumuman, sebaliknya pelaksanaan serta keberanian Perdana Menteri dan Jemaah Menteri membuat keputusan yang tegas.
“Kita akan menjadi sokongan kepada semua perubahan tetapi yang lebih penting adalah pelaksanaan dan keputusan tegas yang perlu dibuat oleh Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.
"Diharapkan ia juga dapat memberi mesej yang kuat bahawa keputusan paling penting dalam persidangan ini adalah perubahan positif untuk negara kita,” katanya.