AYER KEROH - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berpandangan sokongan rakyat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah baik, namun sistem politik negara memerlukan usaha lebih di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, perkara itu penting bagi memastikan agenda reformasi dan perubahan yang dibawa Presiden PKR itu dapat diteruskan, termasuk memberi peluang kepada Anwar untuk memimpin negara bagi penggal kedua.
"Tetapi untuk meneruskan agenda islah, reformasi dan perubahan ini, beliau memerlukan semua daripada kita untuk bersama-sama memimpin negara ini," katanya pada ucapan penggulungan Kongres Nasional Keadilan 2026 di MITC sini pada Ahad.
Katanya, sistem perwakilan yang diamalkan negara memerlukan pemimpin parti turun ke kawasan masing-masing bagi meyakinkan rakyat dan mendapatkan sokongan.
"Kalau kita lihat rating agensi ataupun kajian yang menunjukkan bahawa sokongan rakyat terhadap Perdana Menteri itu baik, tetapi sistem politik kita tidak begitu.
"Sistem politik kita ialah sistem perwakilan yang memerlukan kita berkhidmat di bawah, meyakinkan rakyat di kawasan dan cabang kita untuk memberikan keyakinan serta sokongan kepada kita.
"Kemenangan kita di kawasan itulah yang akan menentukan dan memastikan presiden kita dapat dikekalkan untuk penggal yang kedua, insya-ALLAH," katanya.
Muhammad Kamil turut menggesa seluruh jentera parti membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang disifatkannya semakin hampir.
Beliau berkata, PKR perlu belajar daripada kekalahan sebelum ini dan melakukan penambahbaikan bagi memastikan parti itu kembali mencipta kejayaan.