PEMANSUHAN Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) bukan sekadar satu keputusan untuk menghapuskan undang-undang yang sekian lama menjadi simbol kawalan terhadap mahasiswa, sebaliknya membuka lembaran baharu dalam menentukan sejauh mana institut pengajian tinggi di negara ini benar-benar mampu menikmati autonomi dan kebebasan akademik.
Dalam pengumumannya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan akan memansuhkan akta berkenaan bagi memberi ruang demokrasi lebih luas kepada gerakan mahasiswa selepas pindaan sebelum ini masih belum memenuhi tuntutan mereka.
Namun perkara lebih besar yang perlu dilihat adalah apa akan berlaku selepas itu antaranya bentuk kerangka perundangan yang bakal menggantikan AUKU dan adakah ia benar-benar mampu mengubah budaya serta struktur pengurusan universiti.
Ini kerana AUKU bukan semata-mata undang-undang berkaitan aktiviti mahasiswa, ia turut menjadi antara asas kepada penubuhan, pentadbiran dan tadbir urus institusi pengajian tinggi.
Justeru pemansuhannya memerlukan pengganti yang bukan sahaja menjamin kebebasan mahasiswa, tetapi mempunyai struktur jelas bagi memastikan universiti kekal berfungsi, berakauntabiliti dan mempunyai tadbir urus yang baik.
Dalam konteks itu, langkah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang sudah menggariskan kerangka perundangan baharu menerusi agenda One Higher Education Act di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 memberi petunjuk bahawa pemansuhan AUKU tidak seharusnya berlaku dalam keadaan vakum perundangan.
Perkara paling penting ialah memastikan undang-undang baharu tidak sekadar menukar nama akta atau memindahkan sekatan sedia ada ke dalam peruntukan baharu kerana jika itu berlaku, pemansuhan AUKU hanya akan menjadi perubahan kosmetik.
Reformasi ini perlu menyentuh isu lebih asas iaitu autonomi universiti, kebebasan akademik, hak mahasiswa untuk berpersatuan dan bersuara, kuasa pentadbiran universiti serta mekanisme semak dan imbang.
Kebimbangan itu sudah mula disuarakan gerakan mahasiswa yang menyambut baik pengumuman kerajaan tetapi pada masa sama meminta garis masa pelaksanaan yang jelas.
Mereka juga menggesa supaya proses penggubalan akta baharu melibatkan mahasiswa, ahli akademik dan warga universiti secara terbuka kerana kebebasan tanpa akauntabiliti boleh mencetuskan masalah baharu, manakala akauntabiliti tanpa autonomi pula berisiko mengembalikan budaya kawalan yang mahu ditinggalkan.
Oleh itu kejayaan pemansuhan AUKU tidak wajar diukur berdasarkan tarikh akta itu dimansuhkan semata-mata, sebaliknya apa perubahan yang berlaku selepas itu.
Cabaran sebenar kerajaan kini ialah membuktikan bahawa kebebasan yang dijanjikan mampu diterjemahkan kepada autonomi institusi, budaya akademik yang matang dan mahasiswa yang berani bersuara tanpa menjadikan universiti sebagai gelanggang politik yang mengabaikan fungsi utamanya sebagai pusat ilmu.