Bapa, anak hidupkan seni tradisi Jawa

Iklan
Amar(kanan) bersama Mohd Nizal (kiri) terus mengangkat seni gasing pangkah Johor, gamelan, tarian reog dan wayang kulit Jawa agar khazanah budaya masyarakat Jawa kekal diwarisi generasi akan datang.

PONTIAN – Hampir dua dekad mengabdikan diri memartabatkan seni budaya masyarakat Jawa, pengasas Kumpulan Tunas Warisan, Amar Abu, 65, kini mampu menarik nafas lega apabila perjuangannya mempertahankan warisan itu disambung oleh anak bongsunya, Mohd Nizal Amar, 21.

Bapa dan anak itu antara individu yang terus menghidupkan pelbagai seni tradisional termasuk gasing pangkah Johor, gamelan, tarian reog dan wayang kulit Jawa di Kampung Permatang Duku, Benut sekali gus memastikan khazanah budaya itu terus diwarisi generasi akan datang.

Iklan
Iklan

Amar berkata, kecintaannya terhadap seni budaya bermula daripada bapanya yang juga penggiat seni Jawa di kampung berkenaan, sebelum diwariskan pula kepada anak-anaknya.

"Sebab itu saya terus mengajar anak-anak muda termasuk anak saya sendiri supaya mereka kenal dan sayang kepada warisan ini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Iklan

Amar menunjukkan gambar kenangan Kumpulan Tunas Warisan di Kampung Permatang Duku, Pontian.

Menurutnya, cabaran utama ketika ini ialah menarik minat generasi muda yang lebih terdedah kepada hiburan moden dan penggunaan gajet.

Iklan

Namun katanya, dia bersyukur apabila anak bongsunya menunjukkan minat mendalam terhadap seni tradisional sejak kecil.

"Nizal mula bermain gong ketika berusia lapan tahun dan masih di sekolah rendah. Dia sering ikut saya ke latihan dan persembahan sehingga akhirnya memahami seni ini.

"Sekarang dia bukan sahaja membantu saya, tetapi turut menjadi contoh kepada rakan seusianya," katanya.

Sejak kecil mengenal irama gamelan, kini Mohd Nizal Amar menjadi pewaris yang meneruskan perjuangan ayahnya menghidupkan seni budaya Jawa.

Mohd Nizal berkata, sejak kecil dia sudah biasa mendengar alunan muzik gamelan dan lagu-lagu Jawa seperti ladrang serta sampak yang dimainkan bapanya.

"Saya membesar dengan suasana seni tradisional. Pada mulanya hanya melihat ayah bermain, lama-lama saya mula belajar dan rasa seronok.

"Saya harap lebih ramai anak muda datang melihat dan belajar kerana kalau bukan kita yang sambung, siapa lagi akan menjaga warisan ini," katanya.

Kini Kumpulan Tunas Warisan mempunyai kira-kira 15 ahli termasuk lima hingga enam belia yang aktif dalam pelbagai aktiviti kebudayaan.

Amar berkata, kumpulan itu mengadakan latihan reog hampir setiap minggu, manakala latihan gamelan dijalankan setiap bulan menggunakan kira-kira 10 alat muzik tradisional termasuk saron, gong dan demong.

Gelanggang Tunas Warisan pernah menjadi lokasi pertandingan gasing sempena Hari Keputeraan Sultan Johor peringkat daerah Pontian

Selain itu, Tunas Warisan turut pernah menjadi lokasi pertandingan gasing sempena Hari Keputeraan Sultan Johor peringkat daerah Pontian serta pernah dikunjungi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sempena Program Kembara Mahkota Johor pada 2017.

"Kami pernah menerima sokongan daripada kerajaan negeri dan Pejabat Daerah Pontian termasuk bantuan peralatan muzik dan kemudahan latihan.

"Sokongan itu memberi semangat kepada kami untuk terus memastikan seni warisan ini kekal hidup," katanya.

Kini, setiap persembahan bukan sekadar hiburan, tetapi menjadi simbol hubungan antara seorang bapa dan anak yang memilih untuk pertahankan pusaka budaya keluarga agar terus dikenali generasi akan datang.