SABAK BERNAM - [DIKEMAS KINI] Seorang pekerja Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) maut selepas tudung dipakainya terbelit pada 'roll gate' dalam kejadian di Kunci Air Grand Sabak Hotel di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.35 petang itu, mangsa wanita berusia 56 tahun ditemukan terbaring di atas 'gate' kunci air berkenaan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 3.35 petang.
Menurutnya, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam tiba di lokasi tiga minit kemudian.
"Komander operasi melaporkan seorang wanita berusia 56 tahun yang merupakan pekerja kunci air JPS ditemukan terbaring di atas gate kunci air.
"Siasatan awal mendapati tudung kepala mangsa telah terbelit pada 'roll gate'," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Mayat mangsa kemudiannya menunggu tindakan dan siasatan lanjut pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.
Menurutnya, seramai lima anggota BBP Sabak Bernam bersama sebuah jentera LFRT terlibat dalam operasi berkenaan.