Masjid perlu jadi sebahagian ekosistem pelancongan - TPM

Iklan
Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk disenaraikan sebagai Masjid Pelancongan ke-98 atas keunikan seni bina serta kesediaan kemudahan serba lengkap, termasuk galeri yang berfungsi sebagai pusat ilmu. Foto: Bernama

BAGAN DATUK - Masjid perlu menjadi sebahagian daripada ekosistem pelancongan negara, selain terus berperanan sebagai rumah ibadah, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memberi ruang kepada masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk mengenali sejarah, budaya serta nilai Islam melalui institusi masjid.

Iklan
Iklan

Menurutnya, di kebanyakan negara Islam, masjid sentiasa menjadi antara ikon yang paling mudah dikenali, bukan sahaja melambangkan syiar Islam, malah mencerminkan sejarah, budaya dan identiti sesebuah negara.

“Namun, kehebatan sesebuah masjid tidak pernah diukur pada kubahnya yang tersergam indah atau seni binanya yang memukau.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Terbuka Masjid Kebangsaan (National Mosque Open Day-NMOD) 2026 di Dewan Dato' Lope Hashim di sini pada Sabtu.

Teks ucapan tersebut dibacakan Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Iklan

Hadir sama, Ketua Setiausaha merangkap Pengerusi Pusat Pelancongan Islam (ITC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot.

Dalam majlis tersebut, Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk disenaraikan sebagai Masjid Pelancongan ke-98 atas keunikan seni bina serta kesediaan kemudahan serba lengkap, termasuk galeri yang berfungsi sebagai pusat ilmu.

Masjid terapung di tepian Sungai Perak itu siap dibina pada 2023 dan dinamakan sempena nama ibu bapa Ahmad Zahid, Allahyarham Tuminah Abdul Jalil dan Allahyarham Raden Hamidi Abdul Fatah.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, sudah tiba masanya lebih banyak masjid di negara ini menganjurkan Hari Terbuka bagi membuka peluang kepada masyarakat pelbagai latar belakang, usia dan agama untuk mendekati institusi masjid dalam suasana harmoni.

“Bagi Malaysia, inilah peluang untuk kita memperlihatkan keindahan Islam melalui akhlak dan layanan umatnya. Pendekatan ini selari dengan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang berpaksikan prinsip rahmatan lil alamin.

“Apabila masyarakat, sama ada muslim atau bukan muslim, diberi peluang mendekati institusi masjid dalam suasana yang terbuka dan harmoni, di situlah lahirnya dakwah bil hal,” katanya.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut menzahirkan penghargaan apabila Bagan Datuk dipilih sebagai lokasi pertama penganjuran NMOD di peringkat kebangsaan dan berharap inisiatif itu diperluaskan ke seluruh negara.

Dianjurkan oleh Islamic Tourism Centre (ITC), agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), NMOD 2026 berlangsung dari 13 hingga 15 Ogos di Masjid Tuminah Hamidi dan Dataran Bagan Datuk, dengan pelbagai pengisian yang menggabungkan elemen kerohanian, komuniti, budaya, rekreasi dan aktiviti keluarga.