IPOH - Masjid perlu membelanjakan sebahagian besar wang kutipan sumbangan orang ramai bagi memberi manfaat kepada masyarakat dan bukan sekadar menyimpannya dalam akaun bank.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, langkah itu penting bagi memastikan wang yang disumbangkan umat Islam benar-benar dimanfaatkan untuk mengimarahkan masjid selain membantu golongan memerlukan.
Menurut beliau, kutipan Jumaat di masjid dan surau di seluruh Perak dianggarkan melebihi RM1 juta sebulan atau sekitar RM15 juta hingga RM16 juta setahun.
“Daripada kutipan tahun semasa, saya cadangkan 70 peratus digunakan untuk manfaat masjid dan masyarakat, manakala 30 peratus boleh disimpan sebagai rizab.
Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri Perak, Datuk Mohd Zaki Mahyudin; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim; Datuk Bandar Ipoh, Zamakshari Hanipah dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh.
Mohd Annuar berkata, terdapat masjid yang mempunyai simpanan sehingga ratusan ribu malah jutaan ringgit, namun masih memohon bantuan pihak kerajaan apabila berlaku kerosakan pada bangunan.
“Masjid ada yang bocor tetapi masih minta bantuan daripada Pegawai Daerah atau kerajaan negeri, sedangkan mereka sebenarnya sudah ada duit sendiri.
“Pada saya, satu kerugian kalau duit tidak dibelanjakan. Kecekapan pengurusan ialah apabila ada duit, kita belanja untuk membaiki masjid dan menambah program yang memberi manfaat kepada kariah,” katanya.
Dalam pada itu, Annuar mencadangkan masjid menyediakan makanan percuma secara harian kepada golongan memerlukan khususnya di kawasan berhampiran institusi pengajian tinggi.
Katanya, peningkatan kos sara hidup menyebabkan sebahagian pelajar terpaksa berjimat sehingga mengurangkan jumlah hidangan makanan setiap hari.
“Lebih baik kita letakkan 10 hingga 15 bungkus makanan setiap hari seperti bihun goreng, nasi goreng atau nasi lemak. Kemudian umumkan kepada masyarakat bahawa sesiapa yang mahu mewakafkan makanan boleh berbuat demikian,” katanya.
Menurutnya, selain bantuan makanan, dana masjid juga boleh digunakan untuk menyediakan kelas tambahan dan tuisyen percuma kepada anak-anak kariah daripada keluarga kurang berkemampuan.
Annuar berkata, konsep berkenaan selari dengan tanggungjawab masjid sebagai rumah Allah yang bukan sahaja menjadi tempat ibadah, malah pusat kebajikan dan pembangunan masyarakat.
Dalam perkembangan sama, beliau mahu masjid turut memainkan peranan dalam usaha kelestarian alam sekitar termasuk menyediakan pusat kitar semula dan mengurus sisa makanan.
Katanya, sekurang-kurangnya sebuah masjid di setiap daerah di Perak akan dijadikan pusat kitar semula dengan kerjasama Jabatan Agama Islam dan Adat Melayu Perak (JAIPk).
Beliau berkata, sisa makanan juga boleh diproses menjadi baja kompos yang berpotensi menjana pendapatan kepada masjid dan masyarakat setempat.
“Barang buangan kita boleh jadikan wang. Jika setiap masjid mempunyai mesin kompos, sisa makanan daripada masyarakat boleh dihantar ke masjid untuk dijadikan baja dan kemudian dijual,” katanya.
Annuar turut menggesa jawatankuasa masjid mengamalkan budaya pemakanan sihat termasuk mengurangkan penyediaan minuman bergula dalam program masjid serta mengurangkan penggunaan botol plastik.
Katanya, usaha tersebut penting bukan sahaja bagi menjaga kesihatan masyarakat tetapi juga memelihara alam sekitar.
Sementara itu, ketika ditemui selepas majlis, Mohd Annuar turut memaklumkan bahawa JAIPk akan mengemukakan garis panduan serta petunjuk pretasi (KPI) kepada ahli jawatankuasa kariah masjid yang dilantik.
Pada majlis tersebut turut disampaikan Sijil Anggota Jawatankuasa Kariah Penggal 2026-2029 yang diwakili Orang-orang Besar Jajahan dan Pegawai Daerah.