Tiga surah pilihan Malaysia #Quran Hour 2026 penyelesaian cabaran masyarakat

Iklan
Orang ramai yang menyatakan sokongan kepada Malaysia #Quran Hour (MQH) 2026 . FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU - Tiga surah pilihan Malaysia #Quran Hour (MQH) 2026 akan datang iaitu al-Muzzammil, al-Balad dan al-Baqarah membawa mesej yang bertepatan dengan cabaran masyarakat kini khususnya dalam menangani keretakan hubungan keluarga, remaja yang terpinggir serta sikap kurang peduli terhadap golongan memerlukan.

Ahli Lembaga Pengarah Tadabbur Centre, Syaari Ab Rahman berkata, mesej ketiga-tiga surah berkenaan saling melengkapi dalam membentuk individu yang baik hubungannya dengan ALLAH sebelum diterjemahkan melalui hubungan sesama manusia.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara kelompok yang perlu diberi perhatian ialah remaja yang boleh diibaratkan sebagai ‘yatim dalam rumah’ apabila tidak mendapat kasih sayang, perhatian dan sokongan sewajarnya daripada ibu bapa.

"Mereka yang ‘terpinggir’ juga termasuk anak-anak yang tidak mendapat kasih sayang serta perhatian daripada ibu bapa, dan keadaan ini boleh menjadi punca kepada sesuatu masalah.

Iklan

Ahli Lembaga Pengarah Tadabbur Centre, Syaari Ab Rahman

“Apabila mereka ‘yatim piatu dalam rumah’, mereka tidak beroleh perhatian yang sepatutnya daripada ibu bapa dan tidak mendapat sokongan daripada masyarakat,” katanya ketika ditemui pada Siri Jelajah Kempen MQH 2026 peringkat negeri Kelantan oleh Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) di sini pada Sabtu.

Iklan

Syaari berkata, golongan berkenaan tidak seharusnya terus dilabel sebagai individu bermasalah atau berdosa, sebaliknya perlu diberikan ruang, sokongan dan pendekatan berasaskan rahmah supaya mereka mempunyai peluang untuk berubah.

“Kita kena ubah pendekatan seperti ini supaya lebih ramai anak muda boleh diselamatkan dengan pendekatan marhamah,” katanya.

Mengulas pemilihan tiga surah bagi MQH yang akan berlangsung pada 30 Ogos ini, beliau berkata, surah al-Muzzammil menekankan pembinaan spiritual melalui pengukuhan hubungan manusia dengan Allah sebelum diterjemahkan dalam hubungan sesama manusia.

“Daripada individu yang baik hatinya dan hubungannya dengan ALLAH, ia menuju kepada membina komuniti dan masyarakat yang saling mengambil berat serta mementingkan penyatuan dan perpaduan, merentas agama dan bangsa.

“Dalam satu surah yang sama, ALLAH memberikan formula bagaimana hendak melahirkan warga negara yang saling mengambil berat antara satu sama lain walaupun berbeza agama,” katanya.

Beliau berkata, surah al-Balad pula mengangkat konsep ashabul marhamah iaitu pembentukan masyarakat yang mempunyai sifat kasih sayang serta mengambil berat terhadap golongan yang memerlukan.

Katanya, pendekatan itu penting bagi membentuk masyarakat yang tidak hanya selesa dalam kelompok sendiri sebaliknya mampu menerima dan mengambil berat terhadap mereka yang berbeza latar belakang.

“Peranan surah al-Balad antaranya membawa masyarakat daripada hanya selesa dengan kumpulan sendiri kepada masyarakat yang boleh menerima dan mengambil berat terhadap kumpulan lain walaupun berbeza negeri, bahasa, agama dan bangsa,” katanya.

Syaari berkata, surah al-Baqarah turut membawa mesej berkaitan kepedulian sosial menerusi seruan membantu golongan yang memerlukan sekali gus melengkapkan mesej yang dibawa ketiga-tiga surah pilihan MQH tahun ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia khususnya masyarakat Kelantan supaya bersama-sama mengimarahkan MQH bagi menghayati mesej al-Quran dan menerapkannya dalam kehidupan bermasyarakat.

“Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia terutama di Kelantan untuk mengimarahkan Malaysia Quran Hour, jom hadir beramai-ramai,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Syaari berkata, Siri Jelajah Tadabbur Kelantan yang dianjurkan pihaknya merupakan program berasingan yang memberi penekanan kepada pendekatan masyarakat dalam berinteraksi dengan al-Quran.

Katanya, siri berkenaan kini memasuki tahun kedua dan Kelantan menjadi lokasi keenam selepas Terengganu, Perak, Johor, Pahang dan Negeri Sembilan.

“Kalau MQH terus bimbing kepada surah, kami pula memberitahu bagaimana proses untuk berinteraksi dengan al-Quran.

“Kedua-duanya selari dalam usaha mendekatkan masyarakat kepada al-Quran,” katanya.