NEW YORK - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam untuk mengisytiharkan Selat Hormuz sebagai 'wilayah AS' ketika pentadbirannya masih bergelut untuk menamatkan perang dengan Iran.
Trump membuat kenyataan itu ketika berucap di sebuah akademi polis di Long Island, New York pada Jumaat dengan mendakwa beliau akan mengambil langkah berkenaan 'tidak lama lagi'.
"Selepas kami selesai mengalahkan Iran yang kini sedang mengalami 'kekalahan teruk', tidak lama lagi saya akan mengisytiharkan Selat Hormuz sebagai wilayah Amerika Syarikat," katanya.
Bagaimanapun, tahap keseriusan ancaman Trump dan sama ada kenyataan tersebut menandakan perubahan dasar rasmi Washington masih belum jelas.
Selat Hormuz merupakan laluan perdagangan antarabangsa yang terletak di antara Iran dan Oman serta menjadi antara laluan maritim paling strategik di dunia.
Kenyataan Trump dibuat ketika rundingan damai dengan Teheran terus menemui jalan buntu sehingga kini.
Iran enggan membuka semula Selat Hormuz yang sebahagian besarnya ditutup sejak konflik tercetus, manakala Washington mengenakan sekatan terhadap kapal dan pelabuhan Iran sebagai sebahagian tekanan ekonomi ke atas Teheran.
Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi dalam respons menerusi platform X menegaskan, Teheran tidak akan tunduk kepada ancaman atau tindakan menunjukkan kekuatan oleh Washington.
"Keputusan untuk membuka atau menutup Selat Hormuz hanya akan dibuat di bawah kuasa Iran,"tegasnya.-Agensi