SHAH ALAM - Lima individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berkaitan kes pergaduhan menggunakan senjata hingga mencederakan seorang lelaki di Jalan Bukit Kemuning, Batu 8 Sri Muda di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya juga telah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
"Kita telah merakam keterangan lima individu, selain itu polis turut meneliti rakaman CCTV di sekitar lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
Pada Jumaat, media melaporkan polis memburu dua suspek lelaki dipercayai terbabit kes pergaduhan itu.
Sarudin dilaporkan berkata, siasatan mendapati sekumpulan lelaki menggunakan sebilah parang dan objek menyerupai pistol berhampiran kawasan terbabit kira-kira jam 11 pagi.
Mangsa memaklumkan, dia diserang dua lelaki sehingga parah pada tangan kirinya akibat ditetak menggunakan sebilah parang dan kini mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata serta Seksyen 8 Akta Senjata 1960 kerana memiliki objek menyerupai senjata api.