Keluarga Israel dilarang masuk zoo di Thailand

Iklan
Moran (kanan), pihak taman haiwan berkenaan juga memuat naik imej bendera Israel dengan simbol larangan masuk berhampiran sebuah sasaran menembak di platform media sosial mereka. - Foto Khosod English.

BANGKOK - Sebuah keluarga Israel mendakwa mereka dilarang memasuki zoo di Koh Samui, Thailand selepas kakitangan premis mengetahui mereka berasal dari Israel.

Kejadian pada 12 Ogos lalu melibatkan pasangan dikenali sebagai Moran dan Naveh bersama dua anak perempuan mereka berusia enam dan sembilan tahun.

Iklan
Iklan

Menurut keluarga itu, seorang kakitangan pada mulanya menyambut mereka dengan mesra sebelum bertanyakan negara asal mereka.

Bagaimanapun, mereka mendakwa layanan tersebut berubah selepas menjawab bahawa mereka berasal dari Israel dan dimaklumkan pelancong dari negara berkenaan tidak dibenarkan memasuki taman tersebut.

Iklan

Pasangan terbabit kemudian cuba mendapatkan penjelasan berhubung keputusan itu kerana anak-anak mereka sudah lama menantikan kunjungan tersebut.

Pertikaian kemudian tercetus dengan keluarga berkenaan mendakwa seorang kakitangan lelaki mengarahkan mereka beredar, mengeluarkan kata-kata kesat dan menanduk Naveh pada bahagian leher serta bahu.

Iklan

Rakaman yang tersebar turut menunjukkan berlaku konfrontasi ketika keluarga berkenaan meninggalkan premis tersebut, namun keseluruhan keadaan sebelum rakaman bermula tidak dapat disahkan secara bebas.

Susulan kejadian itu, akaun media sosial taman berkenaan dilaporkan memuat naik imej bendera Israel dengan simbol larangan masuk berhampiran sebuah sasaran menembak, selain memaparkan simbol sokongan terhadap Palestin.

Pemilik taman sebelum ini dilaporkan mendakwa pendiriannya berpunca daripada pengalaman dengan tingkah laku segelintir pengunjung Israel dan bukan semata-mata faktor politik.

Insiden tersebut berlaku ketika ketegangan melibatkan sebahagian pelancong Israel dan komuniti tempatan di beberapa destinasi pelancongan Thailand semakin mendapat perhatian.

Polis pelancong di Koh Samui dilaporkan sedang menyiasat dakwaan keluarga berkenaan bagi menentukan keadaan sebenar kejadian. - Agensi