[VIDEO] 'Memang ada sakau dalam TH, rupa-rupanya ada yang gerun' - Anwar

Iklan

AYER KEROH - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan bahawa sememangnya berlaku perbuatan ‘sakau’ dalam Tabung Haji (TH).

Anwar berucap merasmikan Kongres Nasional Keadilan 2026 di MITC pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beliau dipersalahkan kerana tidak mendedahkan perkara berkenaan lebih awal, tetapi ia ditangguhkan sebelum ini kerana dibimbangi memberi risiko kepada agensi terbabit.

“Saya nak ulang di Melaka, memang ada sakau dalam TH, RM12 bilion hilang itu bukan sakau?

Iklan

“Harus diingat, bila kita mengambil keputusan untuk dedahkan laporan itu, ia keputusan Jemaah Menteri dan tiada seorang pun yang bantah, malah ada yang mencadangkan supaya jangan hentikan setakat 2020 sahaja, tapi sambung,” katanya ketika berucap merasmikan Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini pada Sabtu.

Menurutnya, terdapat beberapa pihak yang seolah-olah bimbang dengan pendedahan berkenaan, malah mempersoalkan ketidakhadirannya di Parlimen baru-baru ini.

Iklan

Beliau turut menegaskan bahawa siasatan berhubung perkara itu bukan dilakukan di bawah seliaannya, sebaliknya oleh pihak berkuasa.

“RCI ini beberapa kali telah dibentangkan di Parlimen, bukannya oleh Perdana Menteri, tapi menteri berkaitan dan siasat bukan urusan saya, tapi badan penguatkuasaan,” katanya.

Namun, Presiden PKR itu memaklumkan bahawa sebagai Perdana Menteri, beliau telah mengarahkan supaya sesiapa sahaja yang bertindak melanggar peraturan serta mencuri harta dan amanah rakyat perlu diambil tindakan tegas.

Selain itu, katanya, Yang di-Pertuan Agong turut menitahkan supaya siasatan tidak terhenti setakat TH, sebaliknya diteruskan kepada agensi lain.

“Ke bawah Duli Yang Mulia Yang di-Pertuan Agong, minggu lalu, maklum pada saya, jangan berakhir dengan TH saja... teruskan... selesai TH, bongkar Felda,” katanya.

Bagaimanapun Anwar berkata, tindakan tidak boleh dibuat berdasarkan tuduhan semata-mata sebelum terdapat kepastian hasil siasatan.

“Bukan hukum sebelum ada kepastian. Jangan terus tuding jari, biar badan penguatkuasa siasat secara profesional.

Dalam pada itu, beliau turut menjawab dakwaan sesetengah pihak yang menyifatkan tindakan tegas kerajaan sebagai didorong dendam atau kerana terdesak.

“Ada orang, kononnya kalangan elit yang pintar katakan Perdana Menteri sekarang terdesak dan nampak dendam ambil tindakan.

“Saudara, 1MDB punya tindakan... lama sebelum saya dan beberapa tindakan kes besar lain juga diteruskan,” katanya.

Namun, ujarnya, walau apa sahaja tuduhan yang dilemparkan ke atasnya, tindakan lebih tegas akan dilakukan bermula daripada sekarang.

“Kata mereka, kalau ambil tindakan dendam dan tidak ambil tindakan kompromi dan lembap.

“Kamu bicaralah apa-apa pun, saya nak jawab menyatakan bahawa proses tindakan lebih tegas bermula sekarang,” katanya.