'Setiap pesawat miliki cerita tersendiri'

Iklan
Muhammad Nurazeem bersama koleksi Toruk Makto SU-30MKM.

SHAH ALAM - Bagi kebanyakan orang, kapal terbang mungkin sekadar pengangkutan yang membawa penumpang merentasi langit, namun berbeza dengan Muhammad Nurazeem Razali, 30, yang melihat setiap pesawat bukan sekadar objek terbang sebaliknya memiliki cerita, karakter dan keistimewaan tersendiri.

Anak kelahiran Melaka itu bukan sahaja meminati dunia penerbangan, malah menjadikan hobi mengumpul dan menerbangkan replika kapal terbang kawalan jauh (RC Plane) sebagai satu kepuasan yang sukar digambarkan.

Iklan
Iklan

Bekerja sebagai Content Producer dan sudah berkahwin, Muhammad Nurazeem berkata, minatnya terhadap dunia penerbangan bermula sejak kecil apabila dia sering bermain layang-layang dan wau.

Menurutnya, kecintaan terhadap kapal terbang turut dipengaruhi oleh latar belakang bapanya yang pernah bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai loadmaster Malaysia Airlines (MAS).

Iklan

“Sejak kecil saya memang tertarik dengan dunia penerbangan. Bermula dengan bermain layang-layang dan wau, kemudian berkembang kepada minat terhadap model-model penerbangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Minat tersebut akhirnya membawa kepada hobi mengumpul replika kapal terbang kira-kira tiga tahun lalu.

Iklan

Muhammad Nurazeem bersama koleksi MB-339 Jet Turbine Kuasa 7 (kiri) dan Toruk Makto Jet Keping

Kini, koleksi Muhammad Nurazeem sudah melebihi 50 model dengan pelbagai jenis pesawat, termasuk replika pesawat tempur, klasik dan bersaiz besar.

Antara koleksi yang paling menjadi perhatian ialah model SU-30MKM Toruk Makto milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Piper Cub dengan ukuran lebar sayap tiga meter, Hornet TUDM, Corsair 35cc serta MB-339 Turbine Jet.

Katanya, setiap model yang dimiliki bukan sekadar hiasan, sebaliknya mempunyai nilai tersendiri kerana memerlukan kemahiran, penjagaan rapi dan pengalaman untuk diterbangkan.

Beliau berkongsi, replika pertama yang dimilikinya ialah sebuah model F22 64mm EDF yang sehingga kini menjadi antara pesawat paling istimewa dalam koleksinya.

"Model tersebut sangat istimewa buat saya kerana bentuk jet yang canggih dan memerlukan kemahiran untuk mengendalikannya.

“Lagipun kapal ini yang mengajar saya untuk belajar secara berperingkat dan menguasai asas terlebih dahulu sebelum mencuba model yang lebih mencabar,” ujarnya.

Disebabkan pengalaman tersebut, Muhammad Nurazeem lebih berhati-hati dalam memilih model baharu untuk koleksi.

Katanya, dia lebih memberi tumpuan kepada pesawat bersaiz besar dan menggunakan enjin minyak kerana memberikan pengalaman penerbangan yang lebih realistik.

Namun, perjalanan mengumpul koleksi itu ada cabaran antaranya mendapatkan model yang sudah tidak lagi dikeluarkan oleh pengeluar.

"Ada model yang sudah tidak dikilangkan selain perlu cermat dan berhati- hati ketika menerbangkan pesawat agar tidak rosak.

"Contohnya kapal terbang Piper Cub lebar sayap tiga meter, kapal yang sudah tiada ganti. Saya beli dulu pun daripada orang, masa itu keadaannya lusuh tapi saya belajar tukar kulit kapal terbang tersebut supaya kembali kelihatan seperti baharu.

"Ia memberi kepuasan kerana saya sendiri yang melakukan proses tersebut,” ulasnya.

Menurutnya, anggaran nilai keseluruhan koleksi yang dimiliki kini mencecah sekitar RM35,000.

Koleksi kapal terbang milik Muhammad Nurazeem

Dalam memastikan setiap pesawat kekal dalam keadaan baik, Muhammad Nurazeem memberitahu, penjagaan rapi amat penting kerana model RC Plane mempunyai banyak komponen elektronik dan mekanikal yang perlu diperiksa.

“Setiap kali sebelum terbang, saya perlu melakukan pre-flight check, memastikan sistem elektronik berfungsi, enjin berada dalam keadaan optimum dan semua bahagian pesawat selamat digunakan.

"Cara penyimpanan juga memainkan peranan penting bagi mengelakkan badan pesawat dan bahagian kawalan seperti control surface mengalami kerosakan," ulasnya.

Bagi Muhammad Nurazeem, keunikan dunia RC Plane terletak pada kepelbagaian jenis pesawat yang boleh diterokai.

Dia berkongsi, terdapat pelbagai kategori seperti pesawat penumpang, jet pejuang generasi pertama hingga kelima, pesawat perang dunia pertama dan kedua, bush plane dan sea plane.

“Setiap kapal terbang mempunyai bentuk, fungsi dan sejarah tersendiri. Itu yang menjadikan hobi ini begitu menarik,” katanya.

Untuk masa depan, impian terbesarnya adalah memiliki sebuah RC Jet Turbine SU-30MKM dengan lebar sayap 2.4 meter pada skala 1:6.

Katanya, pesawat tersebut bukan sahaja menjadi kebanggaan peribadi, malah membawa semangat patriotik kerana diinspirasikan daripada aset pertahanan negara.

Selain mengumpul koleksi sendiri, Muhammad Nurazeem turut berkongsi ilmu dengan peminat baharu melalui penjualan model kapal terbang dan menyediakan kelas penerbangan RC Plane.

"Saya juga menjual model- model kapal terbang dan menyediakan kelas penerbangan.

"Ramai berminat mencuba hobi tersebut tetapi tidak tahu bagaimana hendak bermula, malah ada yang tersilap memilih pesawat yang tidak sesuai untuk peringkat awal.

“Saya mahu membantu beginner supaya mereka belajar dengan cara betul kerana pemilihan kapal terbang pertama sangat penting untuk memastikan mereka terus minat dalam hobi ini,” katanya.