SERDANG - Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 akan memberi penekanan lebih besar kepada teknologi pertanian pintar, digitalisasi dan inovasi agro bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Program selama 10 hari bermula 28 Ogos hingga 6 September ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) turut tampil dengan kelainan dan tarikan terbaharu.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak berkata, tema yang diangkat iaitu ‘Penciptaan Nilai dan Keterjaminan Makanan’ juga selaras dengan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
“Tema ini menekankan bahawa sektor agromakanan tidak lagi boleh dilihat dari sudut pengeluaran semata-mata, tetapi perlu meliputi teknologi, inovasi, pemprosesan dan pemasaran.
“Kita mahu memastikan setiap peringkat dalam rantaian agromakanan dapat menghasilkan nilai yang lebih tinggi, sekali gus menyumbang kepada sistem makanan negara yang lebih berdaya tahan dan mampan,” katanya ketika sidang akhbar khas baru-baru ini.
Beliau menambah, matlamat utama penganjuran program berskala besar itu adalah untuk memperkukuh keterjaminan makanan negara melalui penggunaan teknologi moden, pertanian pintar dan automasi bagi meningkatkan produktiviti sektor agromakanan.
Pada masa yang sama katanya, MAHA turut berperanan sebagai platform perdagangan dan pelaburan untuk mempertemukan usahawan dengan pembeli, pelabur dan pemain industri, disamping membuka lebih banyak peluang kepada produk tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
Sasar jana RM8 bilion potensi pelaburan
Dalam pada itu, Isham berkata, pameran edisi tahun ini disasarkan menjana RM8 bilion potensi pelaburan menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA).
Katanya, kira-kira 2,000 pempamer tempatan dan antarabangsa dijangka menyertai ekspo berkenaan dengan sasaran empat juta pengunjung hadir sepanjang berlansung acara berkenaan.
"MAHA perlu bergerak bukan sekadar sebagai platform pameran, tetapi juga platform ekonomi, inovasi dan keterjaminan makanan negara.
"Kita mahu menghubungkan usahawan tempatan dengan pasaran dan pembeli antarabangsa supaya produk agromakanan tempatan mampu menembusi pasaran luar,” katanya.
‘MAHA Go Global’ kembali
Tambah beliau, ‘MAHA Go Global’ yang kembali dianjurkan tahun ini akan membabitkan penyertaan 14 negara, manakala Hosted Buyer Programme akan menemukan kira-kira 40 pembeli antarabangsa dengan pempamer tempatan.
Katanya, segmen Go Global Grow Local (GGGL) turut mengetengahkan 34 usahawan tempatan dalam tujuh kluster produk pertanian bernilai tinggi, termasuk buah-buahan tropika, bunga keratan, ikan hiasan dan makanan diproses.
"Selain itu, One Stop Centre for Export disediakan bagi membantu usahawan memahami standard, pensijilan dan syarat kemasukan produk ke pasaran antarabangsa.
"Kita juga mengetengahkan Pavilion Taste of Malaysia yang membabitkan 25 syarikat agromakanan tempatan yang sudah berjaya menembusi 27 negara," katanya.
Menurutnya, MAHA 2026 turut menyasarkan penyertaan 800,000 belia bagi menarik generasi muda menceburi sektor pertanian menerusi teknologi pertanian pintar, automasi dan digitalisasi.
“Rata-rata kita faham umur petani yang ada dalam negara ini sudah mencapai umur 60 tahun ke atas.
“Jadi kita perlu pengganti dan kita hendak galakan lebih ramai belia untuk ceburi bidang pertanian dan tidak mihat pertanian sebagai pekerjaan pilihan terakhir,” katanya.
Menyentuh mengenai tarikan dan keistimewaan baharu yang ditawarkan kepada pengunjung, beliau berkata, ia antaranya Agro Safari, Floating Market, Kiddies Wonderland serta penambahan pavilion negeri.
Pameran kali ini turut menyediakan Laman Smart Farming bagi memberi peluang kepada pengunjung melihat sendiri penggunaan teknologi moden dalam sektor pertanian.
“Kita sering bercakap mengenai pelbagai teknologi, namun kita mahu masyarakat dapat melihat dan merasai sendiri teknologi yang boleh membantu sektor pertanian.
“Kita turut menyediakan laman tanaman, ternakan dan perikanan yang sentiasa mendapat sambutan, selain pelbagai aktiviti interaktif untuk memberikan pengalaman baharu kepada pengunjung.
“Antara aktiviti yang disediakan ialah Sukan Rakyat Pertanian dan Rewang Warisan yang sememangnya dinantikan pengunjung,” katanya.
Lebih 6,000 lot parkir disediakan
Ujar Isham, lebih istimewa pada malam Ambang Merdeka akan diadakan pertunjukan cahaya termasuk persembahan khas yang menggabungkan pertunjukan dron bersama bunga api.
"Secara keseluruhannya, pengisian MAHA 2026 dirangka untuk memberi pengalaman yang lengkap kepada semua lapisan pengunjung, daripada teknologi dan inovasi, peluang perniagaan, hinggalah kepada aktiviti keluarga dan hiburan.
"Dengan sasaran kehadiran yang tinggi, aspek keselesaan, keselamatan dan pergerakan pengunjung menjadi keutamaan. Sebanyak 4,800 lot parkir di Pintu 1 dan 1,500 lot di Pintu 2 disediakan, manakala kemasukan pengunjung awam adalah percuma,” katanya.
Beliau dalam masa menggalakkan pengunjung menggunakan pengangkutan awam dengan bas perantara percuma dari MRT UPM, KTM Serdang dan Putrajaya Central, selain parkir alternatif di MARDI, Padang Kawad Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Dewan Kuliah Pusat UPM.
INFO PENTING MAHA 2026
-Bermula 28 Ogos hingga 6 September
-4 juta sasaran pengunjung
-2,000 pempamer tempatan dan antarabangsa
-Sasar jana RM8 bilion potensi pelaburan
-Lebih 6,000 lot parkir percuma