JOHOR BAHRU - Seorang pelajar undang-undang sebuah kolej swasta didenda sebanyak RM500 selepas mengaku bersalah membenarkan akaun banknya digunakan sebagai akaun keldai bagi transaksi haram.
Tertuduh, Nicole Soo Lik Yee, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Zainol di Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, penuntut terbabit didakwa secara tidak jujur mengalihkan wang berjumlah RM525 milik seorang lelaki berusia 32 tahun ke akaun bank miliknya.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Idaman 8/10, Taman Nusa Idaman, Iskandar Puteri kira-kira jam 4.31 petang pada 13 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahlu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, K. Bharathi yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan tertuduh kini sedang mengikuti pengajian undang-undang di sebuah kolej swasta di Petaling Jaya.
Beliau berkata, penuntut itu juga ditanggung oleh datuknya selepas kedua-dua ibu bapanya berpisah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shamira Mohd Luthfi Ismail.