SEPANG - Seorang kontraktor penghantaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas satu pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap teman wanitanya, menggunakan cecair disyaki asid.
S Taswinder, 21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Khairatul Animah Jelani.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap S Liviniya, 21, menggunakan cecair berbahaya disyaki ‘hydrochloric acid’.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tandas perempuan sebuah pusat beli-belah di sini pada jam 5.44 petang 30 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Sofian mencadangkan tertuduh dikenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
"Termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa," katanya.
Bagaimanapun, peguam, Anasuha Atiqah Mat Saidi merayu supaya anak guamnya diberikan ikat jamin pada kadar minimum atas alasan tertuduh telah memberikan kerjasama baik kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.
Menurutnya, jumlah jaminan yang dicadangkan pihak pendakwaan bersifat berlebihan kerana tujuan ikat jamin ialah memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.
"Dia berjanji untuk hadir pada setiap prosiding kes serta mematuhi sebarang syarat yang difikirkan sesuai oleh mahkamah," katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Khairatul Animah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan, tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa.
Mahkamah menetapkan 17 September depan untuk sebutan semula kes.