Gudang diserbu, barangan kontraban RM5.9 juta dirampas

Iklan
Produk makanan yang dirampas.

KLANG – Barangan kontraban bernilai kira-kira RM5.9 juta dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Kampung Sungai Serdang di sini pada Khamis yang dipercayai menjadi pusat penyimpanan sementara dan hab pengumpulan sebelum diedarkan ke seluruh negara.

Komander Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, seramai tiga individu termasuk dua warga Bangladesh ditahan dalam Op Taring Alpha itu.

Iklan
Iklan

"Kita menahan tiga individu termasuk dua warga Bangladesh yang bekerja sebagai pekerja gudang dan seorang lelaki tempatan yang merupakan pengarah syarikat berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Zaki berkata, serbuan kira-kira jam 12.10 tengah itu dijalankan bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.

Iklan

"Operasi berkenaan turut disertai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Pejabat Kesihatan Daerah Klang, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

"Polis turut merampas 149 kotak minuman keras pelbagai jenama bernilai kira-kira RM129,914.41," katanya

Iklan

Beliau berkata, selain itu, sebanyak 167,526 kotak produk makanan dari China yang dianggarkan bernilai RM3.9 juta turut disita.

"Pemeriksaan lanjut turut menemukan pelbagai produk kosmetik serta kesihatan dari China dengan nilai rampasan dianggarkan RM1.547 juta," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati gudang berkenaan dipercayai telah beroperasi lebih kurang 14 tahun dan digunakan sebagai lokasi penyimpanan sementara produk dari China sebelum dihantar kepada pelanggan di seluruh negara.

Antara produk kosmetik yang dirampas dalam serbuan di sebuah gudang pada Khamis.

"Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kastam 1967, khususnya berkaitan kesalahan menyimpan rokok dan minuman keras yang tidak bercukai kastam.

"Dua warga Bangladesh yang ditahan turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 berkaitan kesalahan berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah, manakala tindakan turut dijalankan berkaitan penggajian pekerja asing tanpa permit yang sah," katanya.

Menurutnya, bagi produk makanan, tindakan diambil mengikut Akta Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Makanan 2009, termasuk berkaitan kesalahan pelabelan makanan.

"Produk kosmetik dan kesihatan yang dirampas pula disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Akta Racun 1952," katanya.

Beliau berkata, tndakan susulan turut diambil agensi berkaitan termasuk penyitaan produk makanan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tindakan penguatkuasaan oleh MBDK serta siasatan lanjut terhadap produk kecantikan dan kesihatan yang dirampas.

"Operasi itu membuktikan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan dan jenayah terhadap khazanah negara," katanya.

Mohd Zaki berkata, sepanjang tempoh tahun ini sehingga Junaat, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman telah melaksanakan sebanyak 234 serbuan di seluruh negara.

"Operasi berkenaan membawa kepada penahanan 409 individu atas pelbagai kesalahan membabitkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penyeludupan hidupan liar serta operasi berkaitan e-waste.

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi tempoh tersebut dianggarkan RM311,031,676.64," katanya.

Menurutnya, WCB/PSK akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik bersama semua agensi berkaitan bagi memastikan tindakan penguatkuasaan yang lebih menyeluruh dan berkesan terhadap aktiviti jenayah terancang serta pelanggaran undang-undang.

"Kita akan terus mempergiat operasi bersepadu, memperkukuh kerjasama antara agensi serta memperluaskan perkongsian risikan bagi memastikan setiap rangkaian sindiket yang terlibat dalam penyeludupan, perdagangan haram hidupan liar dan barangan tidak bercukai dapat dikesan, ditumpaskan dan dibawa ke muka pengadilan.

“Tiada ruang kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan, perdagangan haram hidupan liar mahupun jenayah rentas sempadan," tegasnya.