KOTA BHARU - Nasib sebanyak 27 keluarga yang kehilangan atau mengalami kerosakan kediaman akibat kebakaran besar di Kampung Gok Kapor di sini terus diberikan perhatian bagi meringankan beban mereka dalam proses pemulihan.
Terbaharu, bantuan keperluan asas dan wang tunai itu disalurkan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan) kepada keluarga terbabit menerusi inisiatif kemanusiaan dengan sokongan pendanaan Yayasan Hasanah.
Presiden Haluan Malaysia, Dr Abdullah Sudin Ab Rahman berkata, sokongan berterusan amat diperlukan keluarga terbabit selepas kehilangan kediaman dan harta benda dalam tragedi berkenaan.
“Mereka memerlukan sokongan berterusan, bukan sahaja dalam bentuk barangan dan kewangan, malah sokongan moral daripada masyarakat,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada keluarga mangsa di sini pada Rabu.
Kebakaran pada tengah hari 8 Jun lalu itu memusnahkan kawasan kediaman di kampung yang turut dikenali sebagai Kampung Cina, dengan 25 rumah musnah sepenuhnya manakala dua lagi rosak sebahagian.
Tragedi itu menjejaskan kira-kira 130 penduduk daripada 27 keluarga, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Beliau berkata, bantuan itu diharap dapat meringankan sebahagian beban kesemua mangsa terbabit serta membantu mereka melalui fasa pemulihan dengan lebih baik.
Katanya, bantuan yang disalurkan merangkumi pek makanan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung, sardin, biskut, mi segera dan susu pekat.
“Selain itu, mangsa turut menerima kit kebersihan diri, tilam, bantal dan selimut selain kelengkapan memasak termasuk periuk, kuali, pinggan, cawan serta sudu garpu.
“Musibah seperti ini mengingatkan semua bahawa tanggungjawab membantu mereka yang ditimpa bencana perlu dipikul bersama dan berterusan sehingga keluarga terjejas mampu kembali menjalani kehidupan dengan lebih stabil,” katanya.
Dr Abdullah Sudin berkata, Haluan turut menghargai sokongan Yayasan Hasanah yang membolehkan bantuan disalurkan kepada keluarga terjejas.
Katanya, kerjasama antara pertubuhan masyarakat, badan pendanaan, pemimpin setempat dan komuniti penting bagi memastikan bantuan pascabencana disampaikan secara tersusun serta memenuhi keperluan sebenar mangsa.
Sebelum ini, pasukan tindakan awal Haluan Cawangan Kelantan turut menghantar bantuan awal berupa kit kebersihan dan kit makanan pada 13 Jun lalu.