LONDON - Kebakaran besar yang melanda West Midlands mencetuskan ribuan panggilan kecemasan 999 pada hari paling panas di United Kingdom (UK) tahun ini, lapor PA Media/dpa.
Ketua Pegawai Bomba Perkhidmatan Bomba West Midlands, Simon Tuhill berkata, kebakaran besar di Stourbridge menyebabkan kemusnahan meluas selepas api dipercayai bermula di kawasan berumput sebelum merebak ke kediaman berhampiran.
Lebih 100 anggota bomba dikerahkan ke lokasi kebakaran, manakala beberapa penduduk terpaksa meninggalkan rumah masing-masing.
Enam orang diberikan rawatan di lokasi kejadian dan dua daripadanya dibawa ke hospital akibat terhidu asap.
Perdana Menteri UK, Andy Burnham memberi penghargaan kepada anggota bomba yang bertugas dalam keadaan sukar serta berkata beliau berhubung dengan pemimpin tempatan dan perkhidmatan kecemasan berhubung situasi itu.
Pejabat Meteorologi UK merekodkan suhu 38.1 darjah Celsius di Kew Gardens, London pada Khamis, kali kedua tahun ini suhu negara itu mencecah 38 darjah Celsius.
Kebakaran turut dilaporkan di Worcestershire dan Warwickshire. Di Pershore, 30 kediaman dikosongkan selepas kebakaran besar, manakala kira-kira 200 rumah terputus bekalan elektrik.
Syarikat bekalan air Severn Trent Water turut memberi amaran mengenai kemungkinan gangguan bekalan air di beberapa kawasan West Midlands susulan penggunaan pili bomba oleh pasukan penyelamat.
Asap daripada kebakaran turut menyebabkan sebahagian lebuh raya M6 arah utara ditutup sementara sebelum dibuka semula, namun kesesakan sepanjang kira-kira enam batu dilaporkan.
Siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran di Stourbridge. - Bernama