SHAH ALAM - MILO® menerusi inisiatif MILO® Tenaga Untuk Kebaikan' bakal menyumbangkan 1,000 set meja dan kerusi mesra alam kepada sekolah-sekolah di seluruh negara yang menunjukkan komitmen serta kadar penyertaan tinggi dalam amalan kitar semula.
Program yang kini memasuki tahun kedua itu menyaksikan perabot bilik darjah berkenaan dihasilkan secara kreatif daripada kotak minuman UHT terpakai yang dikumpul oleh para pelajar sendiri.
Melalui kerjasama strategik dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Tetra Pak Malaysia, program ini telah memperluaskan manfaatnya kepada lebih 300 sekolah di seluruh negara menerusi sistem penebusan berasaskan mata ganjaran.
Pelajar digalakkan mengumpul dan mengitar semula kotak minuman terpakai untuk ditebus kepada pelbagai peralatan sukan dan kelengkapan sekolah yang berguna, sekali gus memupuk budaya bersukan serta tanggungjawab terhadap alam sekitar.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Singapura dan Brunei, Juan Aranols berkata, di Nestlé, kelestarian haruslah praktikal, mudah diakses dan memberi manfaat yang bermakna.
"Menerusi inisiatif MILO® Tenaga Untuk Kebaikan, kami membantu para pelajar melihat bagaimana setiap kotak minuman yang dikitar semula mampu menyumbang kepada peralatan yang berguna untuk sekolah dan komuniti mereka.
"Inisiatif ini bukan sekadar mengumpul kotak minuman, tetapi bertujuan memperkasa generasi muda Malaysia agar mengambil tindakan, bekerjasama dan menyedari bahawa usaha kecil secara kolektif mampu menghasilkan impak besar kepada alam sekitar," katanya.
Sejak lebih sedekad lalu, MILO® telah menerajui usaha kitar semula di sekolah melalui The CAREton Project. Program ini kini berkembang daripada sekadar meningkatkan kesedaran kepada pelaksanaan ekonomi kitaran secara lebih praktikal.
Sementara itu, Chua Chung Wei dari SJKC La Salle, antara sekolah yang kembali menyertai program ini mengakui ganjaran terbesar adalah melihat pelajar menjadikan amalan kitar semula sebagai rutin harian.
"Melihat produk yang dihasilkan daripada kotak minuman yang mereka kumpulkan mengukuhkan lagi nilai dan impak usaha mereka, sekali gus menggalakkan mereka menjadi warga yang lebih bertanggungjawab," katanya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman web rasmi www.milo.com.my atau ikuti laman Facebook dan Instagram rasmi MILO® Malaysia.