Peti besi RM200,000 lesap, dua lelaki diberkas

Iklan
Mohamad Nazri (gambar kecil) berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada 10 Ogos ketika mangsa keluar bekerja.

KAMPAR – Dua lelaki diberkas selepas dipercayai melarikan peti besi mengandungi wang tunai dan barang kemas bernilai RM200,000 dalam kejadian pecah rumah di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada 10 Ogos ketika mangsa keluar bekerja.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa hanya menyedari kejadian tersebut selepas pulang ke rumah dan mendapati kediamannya dalam keadaan berselerak.

"Hasil pemeriksaan mendapati sebuah peti simpanan yang mengandungi wang tunai serta pelbagai barang kemas telah hilang,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar menjalankan operasi bagi mengesan suspek.

Katanya, hasil serbuan yang dilakukan di sebuah rumah di Brinchang, Pahang berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

Iklan

“Suspek yang ditahan merupakan seorang lelaki warga Indonesia berusia 35 tahun dan seorang lelaki tempatan berumur 40 tahun,” katanya.

Tambah beliau, dalam serbuan tersebut, polis turut merampas pelbagai jenis barang kemas yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes pecah rumah berkenaan.

"Kedua-dua suspek telah direman selama lima hari sehingga 17 Ogos ini bagi siasat kes di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah dan mencuri," katanya.