UNDANG-UNDANG, peraturan dan piawaian pada zaman moden ini banyak dibentuk berdasarkan prinsip. Ini kerana gaya hidup masyarakat serta pasaran amat dinamik dan sentiasa berubah-ubah.
Jika undang-undang digubal secara terlalu spesifik, ia mungkin menjadi tidak relevan apabila keadaan semasa sudah berbeza daripada keadaan ketika undang-undang tersebut dirangka.
Keadaan ini lebih ketara dalam bidang ekonomi kerana inovasi berkembang dengan sangat pesat, terutamanya yang dipacu oleh teknologi.
Oleh itu, penggubal undang-undang perlu merangka undang-undang yang jelas objektifnya, mudah difahami prinsipnya dan boleh diguna pakai dalam keadaan yang berubah dengan pantas.
Terdapat dua cabaran utama dalam pengamalan undang-undang, peraturan dan piawaian yang berasaskan prinsip. Pertama, individu yang terlibat mestilah benar-benar bijak serta mempunyai tahap integriti dan amanah yang tinggi. Jika tidak, objektif yang ingin dicapai mungkin gagal direalisasikan.
Kita ambil contoh piawaian perakaunan. Hampir seluruh pasaran modal dunia menggunakan International Financial Reporting Standards (IFRS). Mengapa? Dengan menggunakan piawaian yang sama, untung rugi, kedudukan kewangan dan prestasi perniagaan dapat difahami dengan lebih mudah dan konsisten.
Keuntungan yang dilaporkan di Afrika Selatan dikira berdasarkan prinsip yang sama seperti di Malaysia. Aset di Indonesia pula dinilai menggunakan pendekatan yang sama seperti di United Kingdom.
Keseragaman ini membantu aliran modal merentas sempadan dan memudahkan pelabur membeli pelbagai instrumen kewangan seperti saham, bon, sukuk dan derivatif yang wujud dalam pasaran modal berkenaan.
Oleh yang demikian, akauntan di semua pasaran modal hendaklah benar-benar memahami IFRS sebagaimana yang sepatutnya. Tidak boleh wujud apa yang disebut sebagai"kefahaman tempatan" terhadap piawaian antarabangsa. Malah, kefahaman dan amalan piawaian itu juga perlu seragam merentas pelbagai sektor ekonomi dalam sesebuah negara.
Tidak wajar sesuatu piawaian perakaunan digunakan secara berbeza hanya kerana sesetengah pihak, misalnya dalam sektor awam, beranggapan bahawa piawaian tersebut lebih sesuai untuk sektor swasta. Prinsip yang sama perlu diterapkan secara konsisten mengikut kehendak piawaian yang ditetapkan.
Cabaran kedua ialah aspek aplikasi piawaian perakaunan. Piawaian tersebut perlu diaplikasikan berdasarkan prinsip-prinsip yang berkaitan secara jujur dan amanah. Oleh sebab IFRS dibentuk berdasarkan prinsip yang diterima di seluruh dunia, tafsiran terhadap transaksi, aset dan liabiliti hendaklah selari dengan prinsip-prinsip tersebut.
Di sinilah pentingnya sifat jujur dan amanah kerana akauntan atau lembaga pengarah mungkin tidak selesa dengan hasil daripada aplikasi prinsip yang betul.
Keuntungan yang dicatat mungkin lebih rendah daripada sasaran, nilai rosot aset mungkin tinggi, dan liabiliti terakru mungkin menjadikan kedudukan kewangan sesebuah perniagaan kelihatan lebih lemah.
Mereka yang tidak berprinsip boleh dengan mudah memanipulasi tafsiran prinsip-prinsip perakaunan tertentu supaya tafsiran yang menyimpang itu memberikan gambaran prestasi dan kedudukan kewangan yang lebih baik daripada realiti sebenar. Perkara sebegini lazimnya tidak mudah dikesan oleh pengguna penyata kewangan.
Juruaudit yang mengaudit penyata kewangan juga menghadapi cabaran yang sama. Adakah mereka cukup kompeten, dan adakah mereka berani mengeluarkan laporan audit yang selaras dengan bukti audit yang telah dikumpulkan? Dilesenkan atau dilantik melalui proses perundangan semata-mata belum tentu menjamin kualiti audit dan laporan yang dihasilkan.
Dilema yang sama turut wujud dalam pelbagai aspek kehidupan yang lain. Individu yang diberikan amanah dan tanggungjawab untuk menguruskan pelbagai proses perlu jujur terhadap mandat yang diamanahkan kepada mereka serta prinsip-prinsip yang mengiringinya.
Oleh itu, kebijaksanaan dan prinsip yang dipegang menjadi faktor utama yang membolehkan undang-undang, peraturan dan piawaian diamalkan secara adil dan saksama. Jika salah satu daripadanya tiada, pelbagai keburukan boleh berlaku.
Mahu atau tidak, sesiapa yang dipilih untuk memegang sesuatu jawatan perlulah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Mereka mesti memiliki kebijaksanaan serta kejujuran yang tidak boleh dipertikaikan.