RAMALLAH - Pelampau Yahudi bertindak mengepung rumah milik dua keluarga Palestin di Tebing Barat sejak Ahad lalu.
Rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan puak ekstremis itu merobohkan sebahagian tembok di luar rumah Abu Ridi dan menggunakan batu-batu tersebut untuk menghalang jalan.
Keluarga Hassan pula mendakwa kumpulan tersebut cuba memecahkan pintu rumah selain membaling batu dan mengugut mereka.
Ahli keluarga daripada kedua-dua keluarga berkenaan turut berkongsi mengenai insiden gangguan berterusan yang dialami mereka di media sosial.
Mereka juga merayu bantuan selepas bekalan makanan semakin berkurangan serta bekalan air dan elektrik yang didakwa sengaja diputuskan oleh kumpulan tersebut.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Qusay Abu Ridi berkata, keadaan semakin kritikal kerana mereka dikepung dan kini terasing dari dunia luar.
Situasi membimbangkan itu berlaku ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa Tebing Barat kini berada di 'titik genting'.
Menurut laporan terkini, seramai 76 rakyat Palestin termasuk 18 kanak-kanak terkorban di Tebing Barat manakala kira-kira 3,800 penduduk Palestin terpaksa berpindah akibat tindakan keganasan pelampau Yahudi.
Pada Rabu, pasukan keselamatan Israel dilaporkan telah berundur dari sebuah pos penempatan pendatang Yahudi di kampung Qusra, berhampiran Nablus selepas berlaku pertempuran ganas dengan kumpulan ekstremis. Lebih 10 daripada mereka dikatakan masih berdegil dan enggan berganjak dari lokasi tersebut.
Pemimpin komuniti Palestin, Abdel Azim Wadi mendakwa mereka menyaksikan corak serangan jelas dan secara sistematik terhadap Qusra.
Bulan lalu, sebuah masjid yang baru siap dibina telah dibakar manakala contengan grafiti dalam bahasa Ibrani turut ditemukan pada kawasan berhampiran.
Serangan terhadap masjid itu merupakan antara beberapa siri keganasan yang berlaku selepas tindakan pencerobohan di perkampungan Tal hingga meragut enam nyawa.
Pada bulan lalu, pelampau Yahudi turut mengepung sebuah rumah milik keluarga Palestin di perkampungan Jalud berhampiran Qusra selama lebih dua minggu.
Akibat tekanan dan ancaman tersebut, pemilik rumah akhirnya meninggalkan kediaman mereka dan rumah itu dirampas puak tersebut. Mereka dilaporkan masih menduduki rumah tersebut sehingga kini.
“Keganasan kumpulan ekstremis Yahudi telah mencapai tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini,” kata Timbalan Penyelaras Khas PBB bagi Proses Damai Asia Barat, Ramiz Alakbarov ketika taklimat kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC) pada Selasa.
Beliau menyifatkan gangguan berlarutan itu yang gagal ditangani pihak berkuasa sebagai satu keadaan yang sangat serius terutamanya kawasan Nablus yang berdepan peningkatan keganasan sejak kebelakangan ini. - Agensi
Info:
>Sejak Januari 2023, kira-kira 127 komuniti terdiri daripada lebih 6,390 penduduk Palestin di Tebing Barat dipaksa berpindah atau meninggalkan rumah mereka.
>Sepanjang 2026, kira-kira 3,800 penduduk Palestin hampir separuh daripadanya ialah kanak-kanak hilang tempat tinggal akibat tindakan keganasan pelampau Yahudi, perobohan kediaman sewenang-wenangnya dan langkah pengusiran tanpa belas kasihan.