PERANGKAAN Demografi Malaysia bagi suku tahun kedua 2026 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Khamis memberi isyarat jelas bahawa struktur penduduk negara ini sedang berubah.
Penduduk berusia 65 tahun dan ke atas kini berjumlah 2.9 juta orang atau 8.4 peratus daripada keseluruhan penduduk, meningkat berbanding 2.8 juta orang atau 8.0 peratus pada tempoh sama tahun lalu.
Kelompok berusia 14 tahun ke bawah menyusut daripada 7.5 juta orang atau 21.6 peratus kepada 7.4 juta orang atau 21.2 peratus.
Perubahan pada dua hujung struktur usia itu berlaku ketika kelahiran hidup turut menurun 6.1 peratus kepada 90,726 bayi berbanding 96,600 kelahiran pada suku kedua 2025.
Angka itu membawa mesej penting iaitu Malaysia semakin tua, generasi muda semakin mengecil dan rakyat pula hidup lebih panjang, namun kemampuan kewangan untuk membiayai usia tua belum tentu berkembang pada kadar yang sama.
Menjadi tua bukan masalah, malah peningkatan jangka hayat mencerminkan kemajuan taraf hidup dan kesihatan.
Usia panjang boleh menjadi tekanan apabila pendapatan selepas bersara berkurangan akibat peningkatan kos makanan, perumahan, rawatan dan penjagaan.
Nasihat supaya rakyat menabung untuk persaraan sememangnya penting tetapi tanggungjawab menghadapi masyarakat menua tidak boleh diletakkan sepenuhnya pada individu.
Rakyat berpendapatan sederhana yang bekerja puluhan tahun belum tentu mampu mengumpulkan simpanan besar selepas memenuhi keperluan keluarga sepanjang usia produktif.
Justeru, perkasakan hal berkaitan penuaan penduduk sebagai agenda ekonomi negara agar tidak dijadikan isu kebajikan warga emas semata-mata.
Sistem kesihatan, perlindungan sosial, penjagaan jangka panjang dan peluang pekerjaan fleksibel perlu berkembang seiring perubahan demografi.
Panjang umur sepatutnya menjadi nikmat kemajuan yang dinikmati dengan bermaruah dan bukan tempoh kehidupan dibayangi kebimbangan kewangan.