'Nasib baik tak jadi jenazah' - Hakim tegur tok siak, ‘cleaner’ mengaku cuba zina dalam bilik jenazah

Iklan
Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan ke atas mereka.

MELAKA - “Nasib baik tak jadi jenazah semasa melakukan persetubuhan secara haram, kalau tidak terus dimandikan di situ.”

Demikian teguran Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, Mawardi Che Man sebelum menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau 18 bulan penjara terhadap siak masjid berusia 48 tahun dan pekerja pembersihan wanita berumur 51 tahun pada Khamis.

Iklan
Iklan

Ia selepas duda dan isteri orang itu mengaku bersalah melakukan persetubuhan haram di sebuah masjid di Bukit Piatu di sini antara jam 8 pagi hingga 12 tengah hari sejak Januari hingga April 2026.

Sebelum menjatuhkan hukuman itu, Mawardi menegur perlakuan bapa kepada empat anak serta ibu kepada lapan anak berkenaan kerana melakukan perbuatan tidak senonoh itu dalam kawasan tempat kesucian Islam.

Iklan

Menurutnya, perbuatan berkenaan amat serius kerana berlaku di lokasi yang mempunyai fungsi khusus dalam pengurusan fardu kifayah dan merupakan tempat terakhir jenazah disucikan sebelum dikebumikan.

“Lokasi berlaku dalam masjid. Siak pula yang menguruskan persiapan jenazah, manakala seorang lagi membersihkan masjid. Namun tempat yang sepatutnya menjadi ruang menjaga kesucian masjid menjadi tempat berlakunya kesalahan besar.

Iklan

Lebih menyedihkan, katanya, perbuatan itu bukan berlaku sekali sebaliknya dilakukan beberapa kali antara Januari hingga April 2026, berdasarkan fakta kes yang diakui kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun, katanya, pendakwaan hanya mengemukakan satu pertuduhan terhadap setiap tertuduh berdasarkan fakta dan keterangan yang diperoleh.

“Saya sedih dan ada juga rasa marah. Kamu dah zina, itu sudah ada dalam al-Quran. Tambahan pula kamu lakukan di tempat yang begitu mulia,” katanya.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan percubaan persetubuhan haram dengan individu yang bukan pasangan sah di sisi hukum syarak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 1 Januari hingga 30 April 2026, antara jam 8 pagi hingga 12 tengah hari, di bilik pengurusan jenazah masjid berkenaan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih 36 bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri, manakala pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Melaka, Wan Mahyuddin Wan Muhammad, dibantu Radzwan Abdullah.

Berdasarkan fakta kes, pada 4 Jun 2026 sekitar jam 4.30 petang, pasangan itu dibawa anggota Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka ke Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berkaitan laporan polis yang dibuat tertuduh wanita kerana mendakwa menjadi mangsa rogol.

Bagaimanapun, selepas siasatan dijalankan, polis mendapati tiada unsur rogol seperti didakwa sebaliknya perbuatan itu dilakukan secara sukarela dan dipercayai berlaku berulang kali.

Jun lalu, Sinar Harian melaporkan kes berkenaan tular di media sosial dengan dakwaan seorang jemaah wanita menjadi mangsa cabul dan rogol di lokasi yang dinyatakan.

Turut tular dakwaan bahawa imam masjid berkenaan tidak membenarkan mangsa membuat laporan polis.

Selain itu, terdapat juga dakwaan bahawa imam terbabit telah menukar siak baharu bagi menggantikan siak lama, dipercayai bagi melindungi individu berkenaan.

Susulan itu Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan menyeluruh telah dijalankan sebelum polis mendapati dakwaan berkenaan tidak berlaku.

Ujarnya, keterangan yang diperoleh menunjukkan tiada sebarang elemen paksaan sekali gus gagal membuktikan kewujudan unsur jenayah tersebut.