SEREMBAN – Seorang lelaki ditahan selepas disyaki menunjukkan kemaluannya kepada seorang wanita warga emas di Kampung Baru Mambau, di sini, bulan lalu.
Lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan di sekitar kawasan Mambau pada Rabu kira-kira jam 10.10 pagi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8.30 pagi pada 31 Julai lalu ketika mangsa berusia 75 tahun sedang menyiram tanaman di hadapan rumahnya.
"Berdasarkan laporan polis, suspek yang datang menaiki sebuah motosikal meminta sayur daripada mangsa.
“Selepas menerima sayur berkenaan, suspek dipercayai membuka seluarnya dan menunjukkan kemaluannya kepada mangsa sebelum beredar dari tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, mangsa yang bimbang terhadap keselamatan dirinya telah membuat laporan polis sebelum suspek berjaya ditahan.
Tambahnya, hasil soal siasat awal mendapati suspek dipercayai mengaku terlibat dalam kejadian berkenaan.
"Polis turut menjalankan siasatan terhadap beberapa laporan lain termasuk dua kes di sekitar Mambau yang dipercayai mempunyai modus operandi sama, iaitu membabitkan mangsa wanita warga emas dan dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan dan suspek akan dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman esok untuk membantu siasatan lanjut," katanya.
Tegas beliau, pihaknya mengambil serius sebarang perbuatan berunsur seksual yang mengganggu atau mengancam keselamatan orang awam, khususnya golongan warga emas dan golongan rentan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini atau pernah mengalami gangguan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya.