80 peratus RUU Akta Mara baharu sentuh pemerkasaan struktur tadbir urus

Iklan
Asyraf Wajdi.

SHAH ALAM - Sekitar 80 peratus Rang Undang-Undang (RUU) Akta Majlis Amanah Rakyat (Mara) baharu menyentuh perihal pemerkasaan Tadbir Urus Korporat Mara, yang mana ia tidak pernah dibincangkan pada era 60-an.

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, antara intipati penting draf RUU Akta Mara 2026 yang bakal dibentangkan di Parlimen sebelum hujung tahun ini selepas mendapat kelulusan dasar mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu adalah mengurangkan kuasa Pengerusi Mara.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, Pengerusi Mara bertanggungjawab mempengerusikan Lembaga Pengarah atau majlis dan menentukan perkara dasar sahaja, tidak seperti Akta Mara 1966 yang memberikan kuasa besar kepada Pengerusi melangkaui kuasa eksekutif pengurusan.

Katanya lagi, keperluan pengasingan kuasa yang jelas antara lembaga dengan pengurusan Mara.

Iklan

"Selain itu, kriteria pelantikan ahli lembaga dan had tempoh perkhidmatan, tatakelola kewangan, perolehan ketat dan pematuhan piawaian nasional serta antarabangsa.

"Mewujudkan Jawatankuasa Audit Mara, Jawatankuasa Pelaburan Mara, Jawatankuasa Kewangan dan Tadbir Urus Mara serta Jawatankuasa Risiko Mara.

Iklan

"Buat pertama kali juga Jawatankuasa Syariah diwujudkan untuk memastikan segala aspek operasi Mara mematuhi prinsip syariah," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Beliau turut memaklumkan, terdapat banyak lagi aspek penting berkaitan dengan amalan tadbir urus baik yang selama ini tidak pernah disebut secara jelas dalam Akta Mara 1966.

Tambah Asyraf Wajdi, kesemuanya perlu dilaksanakan agar tiada lagi kes atau insiden melibatkan salah guna kuasa, kelemahan tadbir urus, penyelewengan, penyimpangan, ketirisan mahupun keborosan boleh berlaku sehingga berisiko mengakibatkan kemudaratan besar terhadap institusi yang bertanggungjawab menjaga kepentingan Melayu dan bumiputera di negara ini.

"Setelah saya dilantik sebagai Pengerusi Mara pada 10 Mac 2023, perkara pertama saya lakukan adalah menubuhkan pasukan khas untuk menilai serta memperbaiki Tadbir Urus Korporat dan Tatakelola Kewangan Mara yang diketuai bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim.

"Ia kerana banyak maklum balas waktu itu mengenai pelbagai isu terkait kelemahan tadbir urus Mara yang berlaku sebelum ini," jelas Setiausaha Agung UMNO tersebut.

Pertama, menurut beliau, pembelian aset luar negara di Australia dan United Kingdom (UK) antara 2012 hingga 2014 menyebabkan anak syarikat Mara Corp iaitu Mara Inc mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM286.30 juta dari 2012 hingga 2022.

Kedua, katanya, isu penajaan pasukan bola sepak Kelantan 'The Red Warriors' antara kontroversi tadbir urus terbesar sekitar 2016 hingga 2017 yang membawa kepada penggantungan Pengerusi Mara ketika itu.

"Ketiga, kerugian melibatkan jutaan ringgit daripada pelbagai projek di bawah Mara yang tiada siapa dipertanggungjawabkan. Keempat, kutipan hutang pinjaman tidak diuruskan dengan baik dan teratur.

"Kelima, isu kartel yang menguasai tender-tender perolehan Mara seperti tender makanan bernilai puluhan juta. Banyak lagi isu lain yang semuanya berkaitan kelemahan struktur asas tadbir urus institusi dan tatakelola," jelasnya.

Asyraf Wajdi turut memperincikan tindakan susulan berpandukan dapatan pasukan khas antaranya memperketatkan disiplin kewangan semua bahagian dalam Mara, melakukan forensik audit terhadap anak-anak syarikat serta menyelaras Audit Dalaman Mara dan Mara Corp secara berpusat.

"Di samping itu, merombak Bahagian Perolehan Mara serta mewujudkan sistem pelaporan dan penyediaan laporan prestasi kewangan bulanan pengurusan kepada Majlis Mara mengikut piawaian antarabangsa.

"Kemuncaknya, Majlis Mara bersetuju menyediakan draf Akta Mara baharu bagi menggantikan Akta Mara 1966 yang berusia 60 tahun dan terlalu longgar dari aspek tadbir urus," kata beliau.