Bebas percaturan politik kunci utama kembalikan keyakinan awam kepada TH - Penganalisis

Iklan
TH perlu mencontohi pengalaman pengurusan KWSP dan PNB yang bebas daripada pengaruh ahli politik - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Membebaskan Lembaga Tabung Haji (TH) daripada sebarang percaturan politik menjadi satu lagi asas penting kepada institusi itu dalam menelusuri landasan pemulihan yang kukuh selepas kejayaan melaksanakan lebih 75 peratus daripada syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pengurusan dan operasinya.

Rata-rata penganalisis berpendapat pelajaran terpenting daripada krisis yang meninggalkan titik hitam dalam sejarah panjang kejayaan TH menguruskan simpanan serta operasi terkait hal ehwal rukun Islam kelima itu ialah campur tangan serta lantikan politik yang menghakis prinsip tadbir urus korporat dan profesional.

Iklan
Iklan

Felo Majlis Profesor Negara, Profesor Dr Azmi Hassan berkata, langkah itu merupakan antara prasyarat utama dalam usaha mengembalikan kepercayaan penuh pendeposit serta umat Islam di negara ini secara keseluruhan terhadap peranan TH.

"Tidak dapat dinafikan hakikat ada campur tangan orang politik dalam TH, malah pada ketika ini sukar untuk kita memisahkan institusi berkenaan daripada dikaitkan dengan kepentingan politik, apa sahaja keputusan pasti dikaitkan termasuklah pembentangan RCI di Dewan Rakyat semalam.

Iklan

"Kehadapan ini (masa akan datang) penting untuk kerajaan mempamerkan bahawa pengurusan TH adalah di luar lingkungan tekanan politik, termasuklah dalam kepimpinan organisasi harus dalam kalangan profesional yang langsung tiada kaitan dengan parti politik,” kata Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) itu kepada Bernama.

Sementara itu, Pensyarah Kanan di Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Amim Othman berkata, TH perlu mencontohi pengalaman pengurusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang bebas daripada pengaruh ahli politik.

Iklan

"Di Malaysia ini ramai sahaja orang (profesional) berkelayakan untuk memimpin (TH), cuma orang politik ini mereka tak nak lepas kelebihan kuasa kawalan ke atas TH.

"Untuk perkara ini (bebas pengaruh politik) bermakna kita (perlu) mengaplikasi cadangan daripada RCI itu sendiri, termasuk (perlu) meminda kuasa menteri, ahli lembaga pengarah dan perkasa kawal selia, ini sudah mencukupi,” katanya.

Mohd Amim berkata, pascakrisis ini menuntut TH lebih agresif dengan pendekatan segar dan baharu dalam usaha menarik keyakinan awam untuk menambah tabungan melalui komitmen keahlian serta simpanan, terutamanya pendeposit generasi muda.

"Jika jumlah pencarum generasi sedia ada berkurang (susulan isu RCI TH), ia berisiko mempengaruhi dana pelaburan. Tarik penyertaan anak muda. Jadikan keahlian satu kelebihan untuk mendapatkan pelbagai produk TH, antaranya melalui TH Property,” katanya.

Pengarah Pusat Pembangunan Ekonomi dan Dasar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Saizal Pinjaman pula berkata campur tangan politik berpotensi menyebabkan risiko sesuatu pelaburan sering kali diketepikan termasuk walaupun terdapat kekangan maklumat tidak lengkap.

Beliau mengambil contoh laporan RCI TH berkaitan pelaburan Al-Rawda di Arab Saudi, kerugian terbesar dalam senarai pelaburan bermasalah institusi itu yang tetap diteruskan biarpun proses penelitian pelaburan belum dilengkapkan.

"Di sini kita boleh lihat kepentingan memberikan kebebasan kepada lembaga yang menguruskan TH agar sebarang keputusan dilakukan itu bersifat objektif, profesional dan berjaya mengambil kira sebarang bentuk risiko dalam sesuatu pelaburan.

"Namun, kebebasan itu juga harus datang bersama tanggungjawab dan pemantauan,” katanya sewaktu menjadi tetamu program Fokus 15 terbitan Bernama TV hari ini, yang membincangkan topik"RCI TH: Memperkukuh Tadbir Urus, Memulih Keyakinan”.

Dalam pada itu, Pakar Perang Saraf, Penganalisis Keselamatan dan Politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, selepas krisis ini, TH perlu segera mengembalikan imej institusi itu sebagai satu bentuk ketamadunan, peradaban dan lambang kemegahan umat Islam di Malaysia.

"Harus dipastikan TH dilihat sebagai satu daripada institusi yang memberikan kepentingan kepada masyarakat dan rakyat Malaysia, bukan kepada pihak lain. Selain itu, satu bentuk reformasi yang terbaik bagi TH ialah lebih telus kepada masyarakat dalam aspek pengurusan organisasi,” katanya.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu berkata TH boleh melantik pakar perunding luar bagi mendapatkan input dari segi elemen perangsang, pelaburan serta ekonomi yang boleh memastikannya kekal berdaya saing. - Bernama