SHAH ALAM - Daripada sungai yang pernah menanggung timbunan sampah hingga dasar airnya seolah-olah menjadi tapak pelupusan, Sungai Klang kini perlahan-lahan kembali bernafas.
Lebih membuktikan perubahan itu ialah jumlah sisa pepejal yang dikeluarkan dari sungai berkenaan merosot sebanyak 63 peratus, daripada kira-kira 16,000 tan metrik setahun pada peringkat awal projek kepada hanya sekitar 5,000 hingga 6,000 tan metrik ketika ini.
Angka itu bukan sekadar statistik, sebaliknya menjadi petunjuk bahawa usaha berterusan memulihkan Sungai Klang sejak 2017 mula membuahkan hasil.
Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), Syaiful Azmen Nordin berkata, sepanjang sembilan tahun pelaksanaan projek pembersihan berskala besar itu, lebih 98,000 tan metrik sisa pepejal berjaya dikeluarkan dari sungai berkenaan.
Katanya, jumlah sisa yang perlu dikutip kini menunjukkan trend penurunan antara 15 hingga 20 peratus setahun.
“Jika pada peringkat awal pembersihan dahulu kita terpaksa mengaut sehingga 16,000 tan metrik sampah setahun, kini jumlah pembuangan sisa tahunan berada dalam lingkungan 5,000 hingga 6,000 tan metrik sahaja.
“Ini menunjukkan penurunan keseluruhan sebanyak 63 peratus,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KDEB Waste Management Sdn Bhd dan LLSB di Wisma Dewan Undangan Negeri Selangor di sini pada Rabu.
Majlis MoU berkenaan ditandatangani Syaiful Azmen dan Pengarah Urusan KDEBWM, Datuk Ramli Mohd Tahir dengan disaksikan Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim serta Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim.
Kerjasama itu bagi meneroka pembangunan Integrated Resource Recovery Centre and Inert Landfill Management Facility, merangkumi pemulihan tapak, pengurusan sisa inert secara terkawal, pemulihan bahan bernilai serta potensi integrasi tenaga boleh baharu pada masa hadapan.
Mengulas lanjut, Syaiful Azmen berkata, menariknya, perubahan paling ketara dapat dilihat ketika negara dilanda pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Ketika aktiviti manusia di luar rumah hampir terhenti, Sungai Klang turut menunjukkan perubahan yang ketara apabila jumlah sampah yang memasuki sungai berkurangan dengan drastik.
Menurut Syaiful Azmen, keadaan itu menjadi bukti bahawa aktiviti manusia merupakan antara penyumbang utama kepada pencemaran sungai.
“Sewaktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), apabila semua orang berada di rumah dan menguruskan sisa domestik masing-masing, Sungai Klang menjadi sangat bersih dan hampir bebas sampah.
“Ini sekali gus mengesahkan punca sebenar dari mana sisa-sisa ini datang,” katanya.
Selama bertahun-tahun, pasukan pembersihan bukan sahaja mengeluarkan sampah yang terapung di permukaan, malah terpaksa berdepan sisa yang tertanam jauh di dasar sungai.
Peti ais, tayar dan perabot rumah antara barangan yang ditemui, selain sisa yang tertanam antara tiga hingga lima meter di bawah dasar sungai dan dipercayai berada di situ sejak puluhan tahun lalu.
“Emas sahaja yang belum kami temui,” katanya bagi menggambarkan pelbagai jenis sisa yang berjaya dikeluarkan sepanjang operasi pembersihan.
Daripada keadaan yang pernah dikategorikan sebagai Kelas 5, kualiti air sungai berkenaan kini menunjukkan peningkatan secara berperingkat dengan beberapa bahagian mencapai Kelas 3 dan 4.
Perubahan itu menunjukkan pemulihan sungai bukan sekadar berkaitan dengan mengeluarkan sampah dari permukaan, tetapi memerlukan usaha berterusan membabitkan pengurusan sisa, pengorekan dasar, kawalan pencemaran dan perubahan tingkah laku masyarakat.
Namun, LLSB tidak mahu berhenti pada pencapaian penurunan 63 peratus itu.
Syarikat berkenaan menyasarkan jumlah sisa yang dikumpulkan dapat dikurangkan kepada kurang 1,000 tan metrik setahun dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, antaranya menerusi pengukuhan kempen kesedaran awam.
Pada masa sama, usaha memulihkan Sungai Klang turut bergerak seiring dengan agenda mitigasi banjir.
Projek pelebaran dan pendalaman Sungai Klang sepanjang 56 kilometer dari Shah Alam hingga ke muara kini mencapai kemajuan fizikal sekitar 68 peratus.
Lebih 1.2 juta meter padu bahan pengerukan telah dikeluarkan dari dasar sungai, sekali gus meningkatkan kapasiti tampungan air daripada kurang lima peratus kepada 22 peratus setakat ini.
Syaiful Azmen berkata, peningkatan kapasiti itu penting bagi mengurangkan risiko limpahan tebing atau overtopping, terutama ketika berdepan hujan lebat dan perubahan corak cuaca.
“Peningkatan kapasiti penampungan air sebanyak 22 peratus ini memainkan peranan amat penting dalam mengurangkan risiko limpahan tebing.
“Banjir yang berlaku di beberapa kawasan ketika ini bukan lagi disebabkan limpahan terus dari Sungai Klang, sebaliknya berpunca daripada kelemahan sistem perparitan dalaman,” katanya.
Projek kendalian LLSB itu dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun depan, manakala jajaran tambahan dari Shah Alam ke Mid Valley akan diteruskan menerusi pelaksanaan Kerajaan Persekutuan.
LLSB menyasarkan kapasiti Sungai Klang dapat ditingkatkan sehingga 40 peratus, sebagai langkah memperkukuh keupayaan sungai menghadapi risiko banjir pada masa hadapan.
Namun, di sebalik angka 63 peratus, 40 peratus dan 98,000 tan metrik itu, pemulihan Sungai Klang membawa satu mesej yang lebih besar.
Sungai tidak mampu dipulihkan hanya dengan mesin pengorek, jentera pembersihan atau peruntukan kerajaan.
Ia memerlukan perubahan cara manusia melihat sungai daripada sekadar laluan air dan tempat membuang sisa kepada ekosistem yang perlu dijaga bersama.
Sungai Klang mungkin belum kembali sepenuhnya seperti asalnya.
Tetapi selepas bertahun-tahun menanggung beban pencemaran manusia, sungai itu kini menunjukkan tanda-tanda kehidupan.
Dan cabaran seterusnya bukan sekadar memastikan sampah yang sudah dikeluarkan tidak kembali, tetapi memastikan kesedaran manusia turut berubah seiring dengan pemulihan sungai.