Misi Jimat Air bersama BoBoiBoy didik generasi muda hargai air

Iklan
Elina (duduk, tengah) bergambar bersama wakil Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan tetamu jemputan dan wakil sekolah semasa Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Misi Jimat Air bersama BoBoiBoy 2025 di LRA Sungai Langat 2, Hulu Langat pada Rabu. FoTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID

HULU LANGAT - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyasarkan perubahan tabiat penggunaan air dalam kalangan generasi muda menerusi kempen Misi Jimat Air bersama BoBoiBoy.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri berkata, kempen itu bertujuan meningkatkan kesedaran pelajar mengenai kepentingan menggunakan air secara bijak selain memupuk amalan pemuliharaan air sejak di bangku sekolah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, menerusi peraduan itu, Air Selangor telah menerima penglibatan seramai 1,457 pelajar sekolah rendah dan menengah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang telah menghasilkan video kreatif untuk berkongsi pandangan mereka tentang pemuliharaan air.

"Air Selangor amat menghargai usaha dan semangat yang ditunjukkan semua peserta dalam menghasilkan video serta berkongsi pandangan mengenai kepentingan menjaga sumber air.

Iklan

"Pada tahun lalu, kempen ini turun padang ke 15 sekolah menerusi satu siri jelajah merangkumi perkongsian mengenai pemuliharaan dan kelestarian air, kuiz interaktif serta aktiviti berkumpulan menghasilkan video," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Misi Jimat Air bersama BoBoiBoy 2025 di Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2, Hulu Langat, di sini pada Rabu.

Iklan

Dua sekolah muncul juara peraduan itu selepas masing-masing menghasilkan video kreatif terbaik berkaitan pemuliharaan air.

SMK Sijangkang Jaya, Telok Panglima Garang, Selangor dinobatkan sebagai pemenang kategori sekolah menengah, manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Peel, Kuala Lumpur, memenangi kategori sekolah rendah.

Kedua-dua sekolah membawa pulang hadiah wang tunai masing-masing sebanyak RM15,000.

Sementara itu, dua sekolah masing-masing menerima hadiah saguhati bernilai RM5,000 iaitu SMK Seri Kembangan dan SK Seri Fajar, Kuala Kubu Bharu.

Mengulas lanjut, Elina berkata, usaha mendidik generasi muda mengenai penggunaan air secara berhemah penting bagi membantu mengurangkan kadar penggunaan air pada masa depan.

"Kita berharap dalam jangka panjang dapat mengurangkan penggunaan air kepada sekitar 180 liter seorang sehari berbanding kadar penggunaan semasa yang lebih tinggi.

"Usaha ini bukan sekadar mengenai jumlah air yang dapat dijimatkan menerusi program ini, tetapi lebih kepada perubahan kesedaran dan tabiat penggunaan air dalam kehidupan seharian," jelas beliau.

Pelajar turut berpeluang merasai sendiri air bersih yang telah menjalani proses rawatan di makmal. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Dalam pada itu, beliau berkata, Air Selangor sedang merancang untuk memperluaskan pendekatan pendidikan berkaitan pemuliharaan air menerusi pelbagai program lain.

"Kita sudah melaksanakan program ini selama dua tahun iaitu pada 2024 dan tahun lalu, namun kita juga sedang merancang untuk mengembangkan program kepada pelbagai bentuk aktiviti lebih sesuai dan menarik untuk pelajar sekolah," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Monsta atas komitmen dan sokongan sepanjang penganjuran kempen berkenaan.

"Air adalah nadi kehidupan dan kita semua bertanggungjawab menjaganya.

"Marilah kita menggunakan air dengan bijak dan berhemah kerana setiap titis amat bermakna sekali gus memastikan kelestarian bekalan air untuk masa depan," tambah beliau

Sementara itu, Pengetua SMK Sijangkang Jaya, Telok Panglima Garang, Mohd Rodzi Abd Rahman berkata, penyertaan sekolah itu bermula menerusi inisiatif Pusat Sumber Sekolah (PSS) yang menggalakkan pelajar menyertai pertandingan berkenaan.

Menurutnya, penyertaan sekolah dalam pertandingan itu bukan sahaja memberi ruang kepada pelajar menyerlahkan kreativiti, malah mendidik mereka mengenai kepentingan menghargai sumber air.

"Pasukan PSS kemudian membuat perbincangan bersama pelajar untuk mendapatkan idea terbaik bagi menghasilkan video berkenaan," katanya.

Bagaimanapun Mohd Rodzi berkata, pihaknya menyedari persaingan sengit dengan penyertaan sekolah lain dan kerana itu mereka cuba menerapkan elemen tersendiri bagi menghasilkan video yang mampu menarik perhatian juri.

"Kalau nak jadi pemenang, mesti ada 'wow factor' dan itulah menjadi tarikan idea daripada sekolah kami.

"Apabila saya melihat video itu, saya sendiri turut terbabit dengan membawa satu watak bersama guru," jelasnya.

Beliau berkata, kemenangan itu membuktikan mesej yang cuba disampaikan menerusi video itu mengenai langkah penjimatan air berjaya diterjemahkan dengan baik.

"Kemenangan ini bukan sekadar hadiah, tetapi menjadi motivasi kepada murid untuk terus mengamalkan penjimatan air dalam kehidupan seharian," katanya.

Mohd Rodzi berkata, wang kemenangan itu akan digunakan sepenuhnya untuk pembangunan PSS termasuk menyediakan televisyen bagi kegunaan pusat sumber sekolah serta manfaat kepada pelajar.

Pelajar meninjau sekitar LRA Sungai Langat 2, Hulu Langat di sini pada Rabu. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Guru Besar SK Jalan Peel, Mohd Zamri Hasbullah berkata, pihaknya sedang merancang untuk meningkatkan beberapa kemudahan PSS.

"Setakat ini, saya sudah berbincang dengan guru dan kami akan menaik taraf bilik PSS termasuk kemudahan televisyen, sistem siar raya (PA), dron dan bilik studio PSS.

"Selain itu, kita juga merancang menyediakan kelas interaktif bagi menjadikan kaedah pembelajaran lebih menarik dan berbeza," tambah beliau.

Beliau berkata, usaha itu selaras dengan keperluan pendidikan masa kini yang semakin mengutamakan penggunaan teknologi dalam proses pembelajaran.

Menurutnya, kemudahan yang dinaik taraf itu bukan sahaja memberi manfaat kepada guru, malah dapat digunakan pelajar untuk menyokong aktiviti pembelajaran dan kreativiti.

"Ini zaman teknologi, jadi kita mahu kemudahan yang ada di sekolah dapat membantu guru dan murid dalam proses pengajaran serta pembelajaran," katanya.