KUALA LANGAT - Seorang lelaki warga Indonesia dikesan bagi membantu siasatan berkaitan kes bunuh.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, lelaki dikenali sebagai Balancing itu dipercayai mempunyai maklumat berkaitan kejadian.
"Individu terbabit sedang dikesan bagi siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Individu berkenaan merupakan seorang lelaki warganegara Indonesia yang dikenali dengan nama Balancing dan dipercayai mempunyai maklumat berkaitan kejadian,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat kini menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan yang direkodkan sebagai Banting Repot 10846/26.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan individu berkenaan supaya tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-3187 2222.