'Saya bayar RM6,000 untuk kami sekeluarga masuk Malaysia melalui Langkawi'

Iklan
Antara warga asing yang ditahan JIM dalam Op Sasar di Aprtment Suteramas di Kajang pada Selasa.

KAJANG - Pasangan suami isteri warga Myanmar mendakwa membayar RM6,000 untuk masuk bersama dua anak mereka ke Malaysia dengan menggunakan khidmat sindiket melalui jalan laut.

Pasangan disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) antara warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Apartment Suteramas di sini menerusi Op Sasar yang digerakkan bermula jam 10.30 malam, Selasa.

Iklan
Iklan

Wanita berusia lingkungan 30-an itu mendakwa, urusan perjalanan itu dibuat dengan bantuan individu dari Thailand merupakan tekong yang menerima bayaran berkenaan untuk membawa mereka bersama beberapa individu lain dari Myanmar ke Malaysia.

“Saya bayar lebih kurang RM6,000 untuk kami sekeluarga datang ke Malaysia.

Iklan

“Suami saya yang urus semua, bayar sama orang Thailand, bawa dari Myanmar sampai ke perairan Langkawi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Antara warga asing yang ditahan JIM dalam Op Sasar di Aprtment Suteramas di Kajang pada Selasa.

Iklan

Tambahnya, mereka datang secara berasingan apabila suami bersama anak sulung berusia 14 tahun terlebih dahulu datang ke Malaysia, manakala dirinya dan anak perempuan berumur tujuh tahun menyusul kemudian.

Dakwa wanita itu, dia memasuki perairan Malaysia melalui Langkawi menaiki bot.

Sementara itu, seorang lagi wanita warga Myanmar berusia lingkungan 20-an yang ditahan dalam operasi terbabit mendakwa memasuki Malaysia melalui laluan tikus di Sungai Golok, Kelantan.

Wanita itu mendakwa perjalanannya diuruskan tekong darat warga Malaysia dengan membayar RM3,000.

Menerusi Op Sasar dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di dua blok lima tingkat itu, Sinar Harian yang berpeluang menyertai operasi itu mendapati terdapat segelintir warga asing yang berpura tidak menyedari ketukan pintu pasukan operasi.

Pegawai JIM melaksanakan pemeriksaan dokumen warga asing menerusi operasi di sebuah apartment di Kajang pada Selasa.

Bahkan, terdapat antara warga asing terbabit bersembunyi di dalam bilik yang disewa mereka selain cubaan melarikan diri.

Difahamkan, kadar sewaan bilik apartment tersebut lingkungan RM250 hingga RM500.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 248 warga asing membabitkan warga Bangladesh serta Myanmar ditahan untuk pengesahan dokumen.

"Siasatan mendapati ada antara penghuni warga asing ini sudah menetap dua tahun, setahun setengah dan ada juga antaranya pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

"Kita akan buat semakan terlebih dulu untuk mengesahkan ia asli atau tidak," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi operasi di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan terdapat warga asing yang telah disenarai hitam memasuki semula ke Malaysia melalui laluan tidak sah.

"Jika dia (warga asing) masuk ikut pintu sah memang tidak lepas kerana dia akan ditahan, bagi kes sebegini mereka masuk ikut jalan tikus," ujarnya.

Tegasnya, operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara seperti di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan AktaAntipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.