Tular tuduhan tak berasas, PKNPk lapor polis dan MCMC

Iklan
PKNPk membuat beberapa laporan dan aduan kepada MCMC berhubung penyebaran dakwaan serius terhadap organisasi itu dan pengurusannya di media sosial. Foto hiasan

IPOH - Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) membuat beberapa laporan dan aduan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung penyebaran dakwaan serius terhadap organisasi itu dan pengurusannya di media sosial.

PKNPk dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan laporan dan aduan berkenaan dibuat antara 30 Julai hingga 3 Ogos lalu susulan beberapa hantaran sebuah laman Facebook yang didakwa secara berterusan menyiarkan pelbagai tuduhan terhadap PKNPk, pengurusan serta individu tertentu yang dikaitkan dengan organisasi berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, penyebaran dakwaan yang tidak berasaskan fakta yang dapat disahkan berpotensi menjejaskan reputasi dan kredibiliti PKNPk serta pihak berkaitan, selain menggugat keyakinan pelabur, pihak berkepentingan dan masyarakat umum.

"Sebagai sebuah agensi pembangunan milik Kerajaan Negeri, PKNPk menghormati hak mana-mana pihak untuk bersuara, memberikan pandangan dan mengemukakan kritikan melalui saluran yang sewajarnya.

Iklan

"Walau bagaimanapun, kebebasan tersebut tidak seharusnya disalahgunakan untuk menerbitkan atau menyebarkan tuduhan tanpa asas yang boleh menjejaskan maruah individu dan nama baik organisasi," menurut kenyataan itu.

PKNPk berkata, perkara berkenaan telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan dan tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Iklan

Dalam pada itu, PKNPk turut memaklumkan pihaknya sudah mendapatkan nasihat perundangan dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi melindungi kepentingan, reputasi serta integriti organisasi.

"PKNPk akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menerbitkan atau menyebarkan kenyataan yang didapati palsu, memfitnah atau melanggar undang-undang.

Beberapa hari lalu tular beberapa hantaran di Facebook mengenai kononnya berlaku salah laku serta perbuatan tidak bermoral di syarikat berkaitan kerajaan itu.