Durian Dalit

Iklan

LABUAN - Norhani Wahab, 71, (kiri) dibantu cucunya, Muhammad Najwan Mohd Riduan, 20, mengutip durian Dalit atau lebih dikenali sebagai durian Kuning oleh masyarakat setempat di kebun keluarganya di Kampung Bukit Kalam di sini.

Kebun berkenaan mempunyai enam pokok durian Dalit, termasuk beberapa pokok yang berusia lebih 50 tahun. Setiap musim, buah yang gugur dikumpul menggunakan tekiding, iaitu bakul anyaman tradisional yang digunakan untuk membawa hasil pertanian.

Iklan
Iklan

Berbanding Sabah dan Sarawak yang mempunyai kepelbagaian spesies dan varieti durian yang lebih meluas, pengeluaran buah durian di Labuan adalah lebih terhad. Justeru, kemunculan durian Dalit setiap musim menjadi antara hasil buah tempatan yang mempunyai nilai tersendiri kepada penduduk pulau berkenaan.

Durian Dalit atau Durio graveolens merupakan antara spesies durian unik Borneo. Buahnya bersaiz kecil dengan kulit berduri halus dan rapat, manakala isinya berwarna kuning hingga jingga, bertekstur berkrim serta mempunyai aroma yang lebih lembut berbanding durian biasa, Durio zibethinus.

Iklan

Menurut Norhani, permintaan terhadap durian Dalit masih ada, namun bilangannya semakin berkurangan apabila sebahagian kawasan tanaman tradisional beralih kepada tanaman komersial.

Bagi keluarga ini, pokok-pokok tua tersebut bukan sekadar sumber hasil bermusim, tetapi warisan tanaman yang menghubungkan generasi serta mencerminkan kekayaan biodiversiti dan tradisi pertanian masyarakat Labuan. Foto Bernama 

Iklan