WASHINGTON - Tanggal 12 Ogos (hari ini) dijangka menjadi hari yang luar biasa sibuk bagi pemerhati langit dengan beberapa fenomena cakerawala utama berlaku dalam tempoh kira-kira 24 jam.
Antara fenomena yang dinantikan ialah gerhana matahari penuh merentasi beberapa kawasan di Hemisfera Utara disusuli hujan meteor Perseid akan mencapai kemuncak tahunannya dan enam planet akan muncul serentak di langit.
Seiring dengan fenomena astronomi yang benar-benar berlaku itu, satu khabar angin di media sosial kembali tular yang mendakwa bumi akan 'kehilangan graviti' selama tujuh saat pada Rabu.
Bagaimanapun, tiada bukti saintifik yang menyokong dakwaan tersebut.
Khabar angin itu tersebar selepas timbul dakwaan kebocoran dokumen rahsia Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) digelar 'Project Anchor' pada November 2024.
Sepanjang lapan bulan pertama 2026, beberapa catatan dalam talian mendakwa kehilangan graviti itu akan menyebabkan puluhan juta kematian di seluruh dunia dan NASA telah membuat persiapan khas untuk menghadapinya.
Bagaimanapun, dakwaan mengenai 'Project Anchor' dan kehilangan graviti itu adalah palsu.
NASA mengesahkan hanya gerhana matahari penuh akan berlaku pada tarikh itu, namun fenomena tersebut tidak menyebabkan bumi kehilangan graviti.
NASA menjelaskan keadaan sedemikian berlaku apabila keseluruhan sistem bumi, termasuk teras, mantel, kerak bumi, lautan, air daratan dan atmosfera kehilangan jisim. - Agensi