PRISTINA - Sidang Parlimen Kosovo bertukar kecoh apabila Perdana Menteri sementara, Albin Kurti dibaling telur oleh seorang ahli Parlimen pembangkang ketika ketegangan memuncak susulan kebuntuan politik di negara Balkan itu.
Rakaman yang tersebar pada Sabtu menunjukkan Ahli Parlimen, Time Kadrijaj mengeluarkan beberapa biji telur satu demi satu dari begnya sebelum melemparkan ke arah Kurti di dalam dewan.
Kadrijaj yang merupakan anggota parti pembangkang konservatif turut menjerit"memalukan, memalukan" ketika melontarkan telur berkenaan.
Insiden itu mencetuskan kekecohan apabila beberapa ahli Parlimen dan anggota keselamatan bergegas menghalang Kadrijaj daripada menghampiri Kurti.
Kurti kemudian dilihat meninggalkan dewan.
Kejadian dilaporkan berlaku selepas Kurti memaklumkan beliau memerlukan lebih banyak masa untuk mengadakan rundingan dengan parti lain sebelum mencalonkan individu bagi jawatan Speaker Parlimen.
Jumaat lalu merupakan tarikh akhir untuk memilih Speaker susulan pilihan raya mengejut Kosovo pada Jun.
Kurti kemudiannya dilaporkan berkata, jika dibaling telur merupakan harga yang perlu dibayar demi mengadakan dialog, beliau 'dengan senang hati akan membayarnya'.
Kosovo berdepan kebuntuan politik selama hampir dua tahun dengan pilihan raya umum pada Jun merupakan pilihan raya ketiga negara kecil Balkan itu dalam tempoh kurang satu setengah tahun.
Insiden membaling telur terhadap pemimpin kerajaan juga bukan perkara baharu di Kosovo.
Pada 2015, Perdana Menteri ketika itu, Isa Mustafa turut menjadi sasaran balingan telur. – Agensi