Kerajaan Johor buru dalang lambak sisa binaan Singapura, tubuh pasukan khas

Iklan
Mohd Jafni menjelaskan, pasukan khas itu akan mengenal pasti lokasi, pihak yang terlibat serta kaedah sisa binaan berkenaan dibawa masuk sebelum dilupuskan di Johor.

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor akan memburu pihak yang bertanggungjawab membawa masuk dan melupuskan sisa binaan dari Singapura secara tidak sah di beberapa lokasi di daerah Pontian.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, satu pasukan khas secara bersepadu akan ditubuhkan bagi menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kegiatan berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pasukan khas itu akan melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), polis, pejabat daerah, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta agensi berkaitan.

“Difahamkan operasi menambak sisa buangan bangunan dari Singapura sudah dihentikan, namun perkara ini tidak boleh berhenti di situ sahaja.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan di premis barangan kitar semula yang didakwa beroperasi secara haram di Jalan Kempas Lama-Seelong, di sini pada Selasa.

Mohd Jafni menjelaskan, pasukan khas itu akan mengenal pasti lokasi, pihak yang terlibat serta kaedah sisa binaan berkenaan dibawa masuk sebelum dilupuskan di negeri ini.

Iklan

Katanya, sekiranya siasatan mendapati kegiatan itu masih berlaku, tindakan penguatkuasaan secara bersepadu akan digerakkan tanpa kompromi.

“Kita akan tubuhkan pasukan penguat kuasa secara bersepadu melibatkan PBT, polis, pejabat daerah, SWCorp dan agensi berkaitan supaya kita dapat mengenal pasti semua masalah yang timbul.

“Ini penting supaya tindakan sewajarnya dapat diambil berdasarkan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau pada masa sama memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak menjadikan Johor sebagai lokasi pelupusan sisa dari negara jiran tanpa permit atau kelulusan pihak berkuasa.

“Sisa yang dibawa dari Singapura dan dibuang di Johor ini, kalau tidak mempunyai permit atau kelulusan sepatutnya, kita perlu ambil tindakan supaya perkara ini tidak menjadi kerisauan Bangsa Johor dan rakyat keseluruhannya,” katanya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan treler yang membawa sisa binaan dari Singapura menggunakan laluan Pekan Nanas- Tanjung Piai, sejak dua tahun lalu, didakwa menyebabkan rumah penduduk retak serta mengundang risiko kemalangan kepada penunggang motosikal.